KUCHING: DAP Sarawak hari ini mengumumkan 18 calon awal yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata ia merupakan gandingan muka lama dan 11 muka baharu.

Sebelum ini DAP Sarawak mengesahkan akan bertanding di 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Berdasarkan perkiraan mudah, terdapat lapan lagi baki calon yang belum diumumkan termasuk kerusi bandar di Kuching.

Antaranya Pending, Kota Sentosa, Padungan, Stakan, Batu Kawa dan Batu Kitang. Manakala dua lagi, Dudong dan Bawang Assan.

Mengulas mengenai perkara itu, kata Chieng Jen ia akan diumumkan kelak.

“Buat masa ini kawasan berkenaan saya tidak dapat umumkan calon yang akan bertanding atas faktor strategi kami.

“Kita akan tunggu sehingga Gabungan Parti Sarawak (GPS) umum senarai calon mereka, baru kita umumkan calon kita,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan calon DAP untuk PRN12 Sarawak di Ibu Pejabat DAP di sini.

Antara calon yang telah dimuktamatkan ialah Granda Aing mewakili Dun Tasik Biru, Chang Hong Siong (Mambong), Laerry (Kedup), Brolin Nicholsion Benedict Achung (Bukit Semuja), Leon Jimat Donald (Simangang), Philip Wong Pak Min (Repok) Yong Siew Wei (Meradong) dan Irene Mary Chang Oi Ling (Bukit Assek).

Manakala David Wong Kee Woan mewakili Pelawan, Solomon Kumbong (Pelagus), Joseph Jingut (Bukit Goram), Kenneth Lagong (Baleh), Tony Chiew (Tanjong Batu), John Bryan (Kemena), Tonny Ung (Samalaju, Peter Hee Leh Keng (Piasau) dan Alan Ling Sie Kiong (Pujut).

Bagi kerusi Dudong dan Bawang Assan, kata Chong, pihaknya masih terbuka untuk berunding dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi mendapatkan kata sepakat atau sebaliknya.