KOTA SAMARAHAN: Ketika teka-teki tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 masih menjadi tanda tanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran agar menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengundian khususnya kepada warga emas.

Menyedari keperluan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, namun golongan tersebut antara yang paling berisiko dijangkiti COVID-19 walaupun telah menerima suntikan vaksin.

Menurut Ketua Kampung Siniawan, Kota Samarahan, Anuar Unid, 49, dalam keterujaan untuk mengadakan pilihan raya, kesihatan rakyat tidak wajar diabaikan.

“Untuk meningkatkan kebaikan kepada waga emas (SPR) perlu sediakan laluan khusus, dan jangan terlalu padat (di pusat pengundian) seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Selain itu, tempat menunggu pun kena dijaga betul-betul supaya tidak ada orang berkerumun, dan bersesak ketika menunggu giliran.

"Ini kerana, golongan warga emas lebih berisiko besar (dijangkiti COVID-19) berbanding pengundi belia,” katanya kepada Astro AWANI.

Dia juga berharap pengundi luar yang bakal pulang ke kampung halaman pada pilihan raya nanti dapat memastikan keselamatan diri bagi mengelakkan penularan kes.

Jelas Anuar, majoriti pengundi di kampung tersebut adalah dalam lingkungan di bawah 50 tahun, selain ada yang bekerja di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang.

Bagi Penghulu Kampung Sungai Mata, Kota Samarahan, Elen Mustapha, 70, pula, dia berpandangan, SPR harus memperhalusi kaedah baharu pengundian dengan mengambil kira pengalaman pilihan raya sebelum ini.

Tambahnya, panduan yang lebih ketat juga wajar dipertimbangkan sepanjang kempen berlangsung.

“Harapan saya pada pihak politik agar tidak berkempen terlalu meluas seperti sebelum ini.

“Sekarang kempen boleh menggunakan internet (dalam talian) atau WhatsApp (media sosial).

“Seperti pengundi yang dah uzur, pihak parti cawangan kampung (disaran) mengambil mereka dengan kenderaan untuk dibawa ke pusat mengundi,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Anuar dan Elen senada bahawa isu peluang pekerjaan, ekonomi setempat serta jaringan internet perlu dipergiatkan.

Setakat tahun lalu, Kampung Sungai Mata merekodkan sejumlah 350 pengundi berdaftar, manakala Kampung Siniawan lebih 200.

DUN Sarawak terbubar secara rasminya pada 3 November lalu setelah Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan Proklamasi Darurat di Sarawak.

Ia sekali gus membolehkan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari sebaik perintah darurat di negeri itu diungkai