KUCHING: Kekurangan tempat letak kereta di beberapa deretan kedai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah menghimpit para peniaga di kawasan itu.

Situasi di beberapa deretan kedai berhampiran Tebingan Batu Kawah jelas membantutkan ekonomi mereka memandangkan ramai pelanggan beralih ke kawasan lain yang lebih selesa.

Selain masalah kekurangan tempat letak kereta, limpahan air Sungai Batu Kawah juga memberi kesan kepada peniaga pasar malam di Tebingan Batu Kawah.

Bagi seorang tukang jahit, Kuan Siew Jin yang sudah lebih 30 tahun berniaga di deretan itu sudah tidak menerima tempahan jahitan.

“Tidak berapa ramai sudah pengunjung yang datang, saya juga sudah jarang menerima tempahan. Kadang-kadang satu minggu pun tidak ada orang datang

"Kawasan ini sempit... tempat letak kereta tidak cukup, kalau tengok pun jalan nak masuk sini kecil," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Bagi peniaga kedai herbal, Tay Joon Hoon, dia sering terima rungutan pelanggan yang sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta.

"Kawasan sini memang kecil, susah nak letak kereta, tidak tahu mana pengunjung mahu letak kereta, sebab kalau tengok depan ini pun tidak banyak tempat letak kereta.

"Tempat letak kereta yang ada pun sudah dipenuhi dengan penduduk yang tinggal di sini juga. Jadi kalau kerajaan buat tempat letak kereta yang baharu, mungkin senang sikit pengunjung nak datang," katanya.

Sementara itu, bagi peniaga pasar malam, Siti Noor Haliza Junaidi, 23, mendakwa kawasan tersebut sentiasa dilimpahi air dari Sungai Batu Kawah ketika musim monsun timur laut.

Jelasnya, insiden itu berlaku hampir setiap tahun dan ia memudaratkan bukan sahaja hasil jualan mereka bahkan juga keselamatan mereka.

“Bila banjir, penjual kami pun terjejas, jadi saya rasa kerajaan perlu sediakan tapak pasar malam khas untuk penduduk di kawasan ini berniaga,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) Sarawak, kerusi DUN Batu Kawah dimenangi Presiden SUPP, Datuk Seri Profesor Dr Sim Kui Hian dengan majoriti 2,085 undi menewaskan calon DAP dan Bebas.