KUCHING: Tidak ada kerjasama antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12. 

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut menafikan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dengan Bersatu.

Ini bermakna GPS akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

"Saya ingin menegaskan, tiada rundingan sedemikian pernah atau akan diadakan. Malah, GPS akan bertanding di semua 82 kerusi di DUN Sarawak pada PRN yang akan datang.

"Justeru, saya ingin membetulkan mesej salah yang dilaporkan dalam beberapa media yang membuat laporan sedemikian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan beberapa media yang mendakwa Nanta telah mengesahkan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dan Bersatu bagi menghadapi PRN Sarawak.

Bersatu memiliki satu satu kerusi DUN Sarawak menerusi ADUN Krian, Datuk Ali Biju yang memenangi kerusi berkenaan sebagai calon PKR dalam PRN ke-11.

Beliau bagaimanapun meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu menerusi Langkah Sheraton bersama beberapa pemimpin PKR lain.

Kenyataan media Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menafikan laporan mengenai rundingan kerusi DUN dengan Bersatu dalam PRN Sarawak ke-12