KUCHING: SEJAK beberapa hari lalu harga tiket penerbangan ke Sarawak yang melambung tinggi pada tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan menjelang Krismas, hargat diperkatakan di media sosial.

Situasi itu nyata membebankan rakyat Sarawak yang berada di semenanjung untuk pulang ke kampung halaman, termasuk dalam kalangan pelajar.

Kerana harga tiket yang mahal itu juga lah, sebelum ini ada pelajar yang terpaksa melupakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman. 

Namun, selepas inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS) diperkenalkan, ia nyata mengukir senyuman khususnya kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Menerusi inisiatif tersebut, pelajar Sarawak yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sabah akan menikmati bantuan kewangan sekurang-kurangnya RM300.

Menurut pelajar Sarjana Pengurusan Projek Pembinaan Bersepadu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Apissrudin Mohammad, 26, sebelum inisiatif itu diwujudkan, ia memang membebankan memandangkan latar belakang keluarganya yang bukan daripada keluarga senang. 

“Bayangkan saya sering menggunakan pesawat setiap kali musim perayaan, kemudian pada waktu itu untuk tahun akhir (2018), saya terpaksa balik untuk berhari raya, dan balik semula ke Shah Alam untuk saya menghadiri peperiksaan akhir.

“Kalau nak ikutkan perbelanjaan untuk tiket semasa itu memang menjangkau dalam RM1,000 hingga RM1,000 lebih, walaupun kita telah tempah awal.

“Tetapi selepas iGPS ini diwujudkan dan sekarang ia memperuntukkan dua kali setahun, saya boleh menggunakan kedua-duanya untuk pergi dan balik,” katanya kepada Astro AWANI, di sini.

Jelas Apissrudin, kali pertama dia menikmati manfaat daripada inisiatif itu pada 2018, ketika masih melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Senada dengan Apissrudin, pelajar Sarjana Sains (Kejuruteraan Kimia), Vannessa Shallomy Darrell, 29, berkata inisiatif itu turut menggalakkan pelajar di negeri itu untuk melanjutkan pendidikan di luar Sarawak.

“Memandangkan geran iGPS ini ia boleh digunakan untuk pelajar yang belajar di Sabah dan Semenanjung, jadi sekiranya mereka melanjutkan pelajaran di luar Sarawak, ia memudahkan pelajar untuk balik ke Sarawak sebab ada bantuan,” ujarnya yang menikmati inisiatif itu dari 2018 hingga 2020.

Selain itu, Vanessa menambah, permohonan iGPS yang ditambah baik di bawah Yayasan Sarawak turut memudahkan para pelajar mendapat bayaran balik selepas pembelian tiket penerbangan.

Dalam pada itu, graduan Doktor Falsafah (PhD) Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Noor Afzaliza Nazira Ibrahim, 30, pula berharap inisiatif iGPS boleh diperluaskan kepada lebih dua kali permohonan.

“Saya ingin ucapkan juga terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah membangunkan inisiatif ini, dan membantu para pelajar.

“Untuk makluman juga, (permohonan) dua kali setahun mungkin boleh ditambah baik menjadi kepada tiga atau empat kali setahun.

“Ini kerana permohonan ini, sekali kita boleh mohon RM300. Jadi, mungkin ada pelajar-pelajar yang nak balik dan berjumpa ibu bapa, di mana ketika ini setiap semester ada tiga kali setahun.

“Jadi, mereka yang tidak mendapat biasisiswa atau pinjaman pendidikan, dengan adanya inisiatif ini mampu membantu mereka untuk pulang berjumpa keluarga,” ujarnya.

Pada 2019, Abang Johari mengumumkan program tersebut bagi meringankan beban pelajar Sarawak yang ingin pulang ke negeri ini.

Sejak ia diperkenalkan, dianggarkan lebih 31,285 permohonan telah dikemukakan sehingga Disember 2020, dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM9.26 juta.