KUALA LUMPUR : Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia pada Ahad membincangkan soal persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya juga akan mengumumkan calon serta strategi kempen dalam masa terdekat.

"Walaupun ia banyak melibatkan BN dan PH, kita tetap undang parti-parti yang ada cawangan dan gerakan di semenanjung.

"Pimpinan parti yang tidak bertanding akan terus beri kerjasama dan sokongan untuk tunjukkan kerjasama dan kesepaduan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Rundingan ini diteruskan, dalam masa singkat wakil PH dan BN akan putuskan pembahagian kerusi, calon, dan juga strategi kempen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn pada Ahad.

Ditanya mengenai kedudukan negeri yang dikuasai parti tertentu, Anwar yang juga Presiden PH itu berkata, tidak timbul sebarang isu berhubung perkara berkenaan.

"Beberapa negeri yang dipimpin UMNO kita terima, negeri-negeri yang dipimpin komponen PH juga kita terima.

"Jadi saya kira itu bukan isu yang perlu dipertikai," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Presiden PKR itu juga menyatakan, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan negeri untuk mengadakan rundingan sebelum ia dikemukakan ke peringkat pusat.

Selain itu, Anwar turut memberitahu, mensyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai persiapan Konvensyen Nasional Perpaduan yang akan berlangsung pada 14 Mei ini.

Menurutnya, konvensyen berkenaan akan menumpukan soal memperkukuh semangat perpaduan bagi meneruskan agenda rakyat.

Ini termasuk rancangan untuk merangka program-program inklusif yang membabitkan semua kaum selari dengan prinsip perlembagaan.