KUALA LUMPUR : Prof Wong Shaw Voon dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang baharu berkuat kuasa pada Sabtu.

Beliau yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Pengarah MIROS, menggantikan Datuk Suret Singh yang dilantik pada Februari 2019.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong melalui status yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya.

Pemilihan Shaw Voon dibuat berikutan pengalaman luas dalam isu-isu keselamatan jalan raya yang akan membawa manfaat kepada MIROS, masyarakat dan negara.

"Tokoh akademik ini bukanlah baharu dalam industri khususnya pengangkutan dan kejuruteraan di Malaysia ini kerana pernah menjadi Ketua Pengarah dan Ahli Lembaga Pengarah MIROS.

"Beliau juga pernah bersama dalam Jawatankuasa Pasukan Khas MOT bagi menyiasat serta menyediakan laporan nahas membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada Mei tahun lepas," katanya.

Shaw Voon juga merupakan Felo Akademi Kejuruteraan dan Teknologi ASEAN dan Perunding Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dana Keselamatan Jalan Raya PBB.

Beliau memiliki kelayakan akademik Bachelor of Engineering in Mechanical and System Engineering with 1st Class Honours and 1st of the class, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Doctor of Philosophy in Mechanical Engineering, Dublin City University, Ireland.