AYER KEROH: Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan 10 prakarsa atau inisiatif bagi memperkasa kebajikan dan mengurangkan beban guru sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, hari ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, selain tujuh langkah segera yang diputuskan KPM sebelum ini, 10 inisiatif baharu itu juga turut membantu mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan negara.

Katanya, antaranya termasuk menetapkan agar Sambutan Hari Guru tahunan mulai 2023 disambut di peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, serta menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu mampu milik

“Sejajar dengan hasrat KPM untuk memberi fokus kepada kebajikan dan mengurangkan beban tugas guru, KPM telah menetapkan agar Sambutan Hari Guru tahunan mulai tahun ini disambut di peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, sekali gus memansuhkan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis tersebut.

“Selain itu, program cuti guru pula ditawarkan melalui potongan harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan Malaysia serta rakan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), di sini, hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, inisiatif lain termasuk, KPM bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan serta memberi kebenaran dan kelonggaran pemakaian baju korporat rasmi KPM sewaktu bertugas kepada guru.

Selain itu, sekolah Komprehensif K9 diperluaskan dengan pertambahan 10 sekolah lagi dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan orang asli, serta perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri Sabah.

“Bagi mengatasi isu kekosongan guru dalam mata pelajaran kritikal, KPM telah memperkasakan kaedah yang lebih strategik dalam urusan pengambilan guru baharu.

“Beberapa kaedah dan pendekatan strategik telah dipersetujui dan akan dilaksanakan termasuk peluasan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru,” tambahnya.

Inisiatif lain yang diumumkan termasuk penambahbaikan surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/2002 lawatan sekolah pada hari persekolahan dan mempertingkat  peranan kumpulan Guru Insani Malaysia.

Selain itu KPM akan turut mempertingkatkan peranan Yayasan Guru Tun Hussein Onn dalam meningkatkan profesionalisme guru dan menjaga kebajikan guru serta menambah baik Standard Guru Malaysia 2.0.