PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) menawarkan Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) kepada pemastautin di Malaysia yang mempunyai pendapatan disimpan di luar negara, yang akan dilaksanakan bermula 1 Jan hingga 30 Jun tahun depan.

HASiL dalam satu kenyataan pada Selasa menyatakan ia dilaksanakan selaras dengan pembatalan pengecualian cukai ke atas pendapatan daripada punca luar negara, seperti diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melalui Bajet 2022.

Kenyataan HASiL itu menyatakan PKPP akan dilaksanakan berdasarkan antara kriteria berikut iaitu; Kadar cukai tiga peratus (kasar) ke atas pendapatan yang dibawa masuk dalam tempoh tersebut seperti mana yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang Kewangan 2021; Tiada semakan audit, siasatan atau penalti terhadap pendapatan yang dibawa masuk dalam tempoh PKPP, semua pendapatan yang dibawa masuk akan diterima secara suci hati oleh pihak HASiL;

Kriteria lain ialah: Pendapatan hendaklah dibawa masuk atau diremit dalam tempoh PKPP; Bayaran cukai hendaklah dibuat mengikut aturan pembayaran biasa yang telah ditetapkan bagi tahun taksiran 2022 atau 2023, yang mana berkenaan; dan PKPP tidak melibatkan pendapatan yang terbit dari Malaysia yang tertakluk kepada cukai bagi tahun taksiran 2021 dan tahun-tahun taksiran seterusnya dan diremit atau dibawa balik dalam tempoh PKPP.

Kenyataan itu menyebut selepas tamat tempoh tersebut, HASiL akan menyemak dan meneliti maklumat-maklumat pendapatan pemastautin Malaysia disimpan di luar negara yang diterima melalui perjanjian pertukaran maklumat percukaian dengan negara-negara lain.

"Sekiranya berdasarkan semakan, didapati pendapatan yang disimpan di luar negara yang berpunca dari Malaysia masih belum dilaporkan, taksiran tambahan boleh dibangkitkan berserta dengan penalti selaras dengan peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Sehubungan itu, HASiL menggalakkan pembayar cukai menyertai program khas yang ditawarkan ini bagi mengemas kini kedudukan cukai mereka," menurut kenyataan itu lagi.

Dalam Bajet 2022 sebelum ini, Tengku Zafrul berkata cukai pendapatan dikenakan kepada pemastautin di Malaysia ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan diterima di Malaysia, bermula 1 Jan tahun hadapan.

-- BERNAMA