PUTRAJAYA : Malaysia My Second Home (MM2H) akan diaktifkan semula selepas program itu dibekukan tahun lalu susulan pandemik COVID-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, permohonan baharu akan mula dibuka pada Oktober depan selepas proses perundangan selesai. 

"Sukacita saya maklumkan bahawa program MM2H akan diaktifkan semula dan permohonan baharu akan diproses serta dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia mulai Oktober 2021 setelah proses perundangan selesai.

"Kerajaan juga memahami kegusaran rakyat mengenai kemasukan warga asing melalui MM2H yang dikhuatiri akan menambah lambakan warga asing di Malaysia. Oleh yang demikian, kerajaan setuju perkenal dan tetapkan siling bilangan peserta, prinsipal dan tanggungan pada satu-satu masa iaitu tidak melebihi satu peratus daripada jumlah warganegara Malaysia," katanya dalam satu sidang media mengenai MM2H di sini pada Rabu.

Kementeriannya juga memberi jaminan bahawa hanya peserta yang berkelayakan dan tiada rekod jenayah akan dibenarkan menyertai program ini.

 

Dalam masa sama, bagi mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi, syarat penyertaan MM2H telah ditambah baik setelah mengambil kira pandangan kementerian dan agensi kerajaan.

Syarat-syarat tersebut ialah pertama, keberadaan dan bermastautin di Malaysia sekurang-kurangnya selama 90 hari kumulatif dalam setahun.

"Ini adalah bagi memastikan peserta-peserta MM2H benar-benar berbelanja dan menyumbang kepada ekonomi dalam negara sama ada dalam bentuk sewaan atau belian hartanah, perkhidmatan kesihatan, insurans, pendidikan, perbelanjaan makan minum, domestik dan lain-lain yang menjana kepada pendapatan rakyat tempatan," ujarnya.

Kedua, peserta perlu mempunyai pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding syarat RM10,000 sebulan yang dikenakan sebelum ini.

"Berbanding syarat pendapatan sedia ada, syarat pendapatan baharu ini lebih relevan kerana kerajaan menyasarkan peserta yang berkualiti, berkemampuan dan berpendapatan tinggi," tambahnya.

Ketiga, pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan belian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak-anak.

Sebelum ini syarat yang ditetapkan pemilikan akaun simpanan tetap adalah sekurangnya RM150,000 bagi pemohon berumur 50 tahun ke atas dan RM300,000 bagi 50 tahun ke bawah.

Keempat, umur yang layak memohon dipecahkan kepada dua kategori permohonan iaitu 35 hingga 49 tahun dan 50 tahun ke atas.

"Kerajaan akan memperkenalkan kategori 35 hingga 49 tahun bagi tujuan memilih peserta benar-benar stabil dan mempunyai pendapatan dan kerjaya tetap.

"Syarat ini diperkenalkan selaras dengan peredaran masa dan melihat kepada kejayaan MM2H yang memberi limpahan ekonomi kepada negara jiran iaitu Thailand dan Filipina.

Kelima, tempoh pas lawatan sosial jangka panjang MM2H adalah lima tahun dan boleh dilanjutkan selama lima tahun dan seterusnya selagi peserta berminat tertakluk kepada syarat permohonan berbanding 10 tahun sebelum ini.

Keenam, pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta  dan ketujuh, kadar fi pas daripada RM90 kepada RM500 setahun dan fi proses dikenakan RM5,000 bagi prinsipal dan RM2,500 bagi setiap tanggungan.

"Selaras dengan kemudahan, kerajaan setuju dengan kenaikan fi pas dan fi proses. Sebelum ini fi proses tidak dikenakan kepada peserta MM2H.

"Fi proses ini bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan ke atas peserta program. Untuk itu, sistem talian yang dibangunkan akan memberi perkhidmatan terbaik kepada peserta," tambah beliau.