KUALA LUMPUR:Pengagihan vaksin COVID-19 untuk menangani COVID-19 adalah lebih baik berbanding pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dalam kalangan pemain industri seperti mewujudkan bilik isolasi dan memperkenalkan zon pengasingan kerja.

Setiausaha Agung Majlis Perabot Malaysia (MFC) Matthew Law berkata walaupun persatuan itu bersyukur kerana kerajaan telah membenarkan industri perabot beroperasi tetapi pengenaan SOP yang ketat telah melambungkan kos operasi.

Ini turut menjejaskan kapasiti pengeluaran disebabkan pembatasan bilangan pekerja berikutan langkah penjarakan sosial.

"Kami juga mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mengimunisasi pekerja asing secara percuma memandangkan industri perabot, malangnya masih bergantung kepada buruh asing.

"Dalam keadaan sedemikian, yang mana setiap industri cuba bertahan, vaksin percuma akan memberikan ruang kelegaan kepada pemain kami terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sedang bertungkus lumus bagi mengimbangi tempahan dalam tangan mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

Industri perabot mengalu-alukan program tersebut berikutan pandemik ini telah menjejaskan seluruh industri dan negara.

"Selama lebih setahun, ekonomi negara telah berada dalam senario tertutup. hanya sebahagian dibuka dan ini menyebabkan tekanan kepada semua pihak," katanya.

Bagaimanapun, pihak industri agak prihatin terhadap proses imunisasi pekerja asing.

"Mengikut buku panduan yang ada, imunisasi pekerja asing akan dibuat pada fasa ketiga. Di sini kami ingin tahu adakah imunisasi pekerja asing dan tempatan di kilang akan dibuat secara serentak atau berasingan?" tanya beliau.

Industri juga tertanya mengenai jenis vaksin yang akan diagihkan kepada pekerja kerana dilaporkan bahawa vaksin Pfizer akan digunakan, walaupun mempunyai kecekapan hanya 95 peratus termasuk suhu penyimpanan -75 Celsius.

"Kebanyakan kilang kami terletak di kluster atau kawasan pinggir bandar, ini menimbulkan kesukaran bagi menyediakan kemudahan untuk penyimpanan vaksin ini.

"Oleh itu sebagai inisiatif, syarikat-syarikat besar industri bersedia menampung kos vaksin yang berpotensi selain daripada yang dinyatakan dalam buku panduan, selagi ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dalam usaha untuk mempercepatkan proses vaksinasi ke atas sektor ini," katanya.

Law berkata secara keseluruhan, MFC menjangkakan masa hadapan yang lebih baik selepas melihat kepada data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang menunjukkan angka eksport bagi Disember 2020 berada pada RM1.361 bilion, naik 16.7 peratus berbanding Disember 2019.

Ini akan memberikan beberapa manfaat ke atas subsektor yang berkaitan walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan mulai Mac 2020-April 2020.

"Walaupun PKP 2.0 diramal memberi kesan kepada angka eksport, kami tetap optimis bahawa tahun ini, walaupun masih mencabar, tetap mengandungi peluang pertumbuhan," katanya lagi.

Muhyiddin dalam pengumumannya semalam berkata vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 akan tiba di Malaysia pada Ahad ini manakala pelaksanaan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dimulakan secara berperingkat mulai 26 Feb.

-- BERNAMA