Program vaksinasi secara besar-besaran dibimbangi bawa penularan jangkitan tidak bergejala

Fauzi Suhaimi
Mac 12, 2021 09:55 MYT
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan tempatan meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan Ivermectin bagi mengekang penularan jangkitan virus itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran agar tidak melaksanakan program vaksinasi secara besar-besaran kerana dibimbangi membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang memetik laporan kajian pakar virus dan vaksin memberitahu, kaedah itu akan mewujudkan penularan kes jangkitan tanpa gejala sekali gus pemberian vaksin itu tidak mencegah penularan jangkitan virus berkenaan.
Mereka berkata, pemberian vaksin itu juga hanya merangsang antibodi antigen khusus, namun tidak kepada sel pembunuhan semula jadi yang diperlukan bagi merawat COVID-19 dengan berkesan.
"Vaksin itu turut membenarkan antibodi antigen khusus yang mungkin tidak menular kepada varian baharu, tetapi mampu memusnahkan sel antibodi sedia ada.
"Pemberian vaksin itu juga mampu mewujudkan virus jenis varian baharu dan berupaya mengawal virus sedia ada dengan melemahkan tahap imuniti dalam badan," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Kenyataan itu ditandatangani beberapa NGO iaitu COVID-19 Research Centre, Asian Heritage Museum Group; Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) dan
Gabungan NGO Islam (GNI).
Mengulas lanjut, kenyataan itu meminta agar kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan Ivermectin bagi mengekang penularan jangkitan virus itu.
"Ini kerana, ubat tersebut direka semula dan mudah untuk didapati selain sangat selamat dan berkesan dalam mencegah serta merawat COVID-19," jelas kenyataan itu lagi.
#program vaksinasi #PPIM #NGO #COVID-19 #vaksin #varian baharu #Malaysia #kerajaan #Ivermectin