SHAH ALAM: Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong menyifatkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berhubung pengurusan dana oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) adalah mengejutkan.

Ia selepas Ahmad Nazim pada Selasa memberitahu bahawa BNS yang merupakan kontraktor utama dalam projek pembinaan LCS terpaksa mengambil alih termasuk hutang bank syarikat PSC, selepas entiti itu sebelum ini gagal dalam usaha penswastaan projek pembinaan kapal tentera laut.

“Macam mana beliau boleh setuju bahawa penggunaan dana LCS yang disonglap untuk ‘bailout’ projek New Generation Patrol Vessel (NGPV) adalah sesuatu yang wajar dan boleh diterima?

“Satu hari nanti, takkan dana LTAT juga boleh disonglap untuk ‘bailout’ projek-projek yang lain. Salah guna dana adalah jenayah dan tidak boleh diketepikan.

“Kenyataan Nazim Rahman di Facebook semalam adalah kenyataan paling mengejutkan kerana menunjukkan beliau langsung tidak faham proses pembinaan kapal perang dan juga gagal dalam peranan beliau sebagai Ketua Eksekutif LTAT,” katanya menerusi satu hantaran di Faceooknya pada Rabu.

Nazim dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa memaklumkan sebahagian daripada dana LCS terpaksa diguna untuk membayar hutang lapuk syarikat PSC dana perkara itu katanya terkandung dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pada masa sama, Nazim turut menyatakan bahawa pembayaran RM6 bilion daripada nilai keseluruhan kontrak LCS RM9 bilion itu adalah bagi menampung perbelanjaan pembelian secara pukal hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Chin Tong berkata, teori pembelian secara pukal itu adalah satu penipuan dan isu tersebut telah dibangkitkan oleh Tan Sri Ambrin Buang kepada PAC dalam satu prosiding ada 1 Disember 2020.

Menerusi prosiding tersebut, beliau berkata, Ambrin telah menimbulkan kepelikan berhubung tindakan pihak terbabit menandatangani kontrak perolehan tersebut sebelum reka bentuk dimuktamadkan.

“Kenapa beli peralatan sebelum reka bentuk dimuktamadkan? Ini bukan main Lego, boleh pasang dan buka suka hati. Lebih-lebih lagi, 15 peratus daripada peralatan yang dibeli secara pukal ini telah lapuk dan obsolete.

“Ini adalah pembaziran yang terlampau besar kerana pembelian peralatan dibuat sebelum reka bentuk dipersetujui oleh design authority iaitu Naval Group.

“Sekiranya reka bentuk diubahsuai atau ditukar oleh design authority dalam proses pengesahan, maka peralatan dan wang yang diguna untuk membeli peralatan memang dibazirkan,” katanya. -Sinar Harian