KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah mengenai kos sebenar projek perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang bakal diteruskan kelak.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu menjelaskan tentang berapa kerugian yang akan ditanggung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akibat keputusan tersebut.

"Saya ambil maklum keputusan kerajaan yang bersetuju projek perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) diteruskan.

"Namun, menurut rekod soalan-soalan di Parlimen yang diajukan saya sebelum ini kepada Kementerian Pertahanan masih belum menjawab secara terperinci terutamanya tentang kos sebenar pemerolehan LCS.

"Menteri jangan ambil mudah hal ini kerana bukan hanya kerana ia melibatkan sejumlah dana yang besar, tapi atas dasar ketelusan ia mesti dijawab.

"Saya juga tuntut Menteri menjelaskan tentang berapa kerugian yang ditanggung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akibat keputusan ini," jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook.

BACA: Kerajaan buat keputusan terus projek perolehan LCS - Hishammuddin  

Pada Rabu lalu, kabinet bersetuju untuk meneruskan projek perolehan LCS yang sebelum ini berdepan kelewatan berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.

Keputusan kerajaan itu setelah mengambil kira dua faktor utama, pertama, LCS sememangnya aset yang amat diperlukan TLDM, seiring perancangan pemodenan TLDM serta untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada negara serta menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara.

Kedua, terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion merangkumi pelbagai perkara antaranya lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia, 90 peratus daripadanya berhubung kait dengan veteran.