KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat dilihat sebagai usaha untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan kawalan pandemik COVID-19.

Ia melihat kepada beberapa strategi dan tindakan yang diambil oleh kerajaan dengan memastikan penglibatan banyak pihak termasuk pakar, mahupun ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad di laman Facebooknya, beliau memperincikan tentang langkah yang diambil kerajaan ketika proklamasi darurat dilaksanakan.

 
Sumber Facebook marzuki.mohamad.549

Ia sekali gus menolak segala tohmahan negatif terhadap kerajaan.

"Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah dibentuk untuk menyelaras pengurusan darurat di negara ini dengan memantau isu-isu berkaitan penguatkuasaan, meneliti cadangan pindaan undang-undang dan tingkatkan kecekapan pengurusan darurat dan kawalan pandemik COVID-19.

"Selain itu, rundingan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama hospital-hospital swasta untuk menerima pesakit COVID-19 selain penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memastikan vaksin dapat diberikan secara percuma kepada penduduk," katanya dalam kenyataan di laman Facebook. 

Jelas beliau, kuasa kepolisan turut diluaskan kepada Angkatan Tentera malaysia (ATM) bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras pendatang asing  tanpa izin (PATI) yang menjadi punca penularan wabak COVID-19 dalam negara.

"Kem-kem PLKN dan Kem Wawasan turut diambil alih secara sementara untuk dijadikan pusat tahanan sementara dan penjara bagi mengurangkan kesesakan di penjara dan depoh tahanan PATI.

"Ia juga termasuk pembentukan Jawatankuasa Bebas Khas Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai penerusan dan penamatan darurat yang turut dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang," katanya. 

Dalam pada itu, isu ekonomi juga terus diberi perhatian.

Antaranya ialah mengurangkan impak ekonomi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 apabila berjaya mengurangkan kerugiaan daripada RM2.4 bilion sehari pada PKP 1.0 kepada RM300 juta sehari.

"Pelbagai juga bantuan diberikan terhadap mereka yang terkesan termasuk Bantuan Prihatin Nasional berjumlah RM18.4 bilion dan penyaluran insentif kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sebanyak RM2.7 bilion, memanfaatkan 900,000 PKS di seluruh negara.

Kesemua pakej rangsangan ekonomi ini bernilai RM305 bilion bagi membantu rakyat," jelasnya. 

Jelas Datuk Marzuki, kerajaan juga mengambil pendekatan secara inklusif dan kolektif serta tidak berpolitik dalam menguruskan pandemik.

Ia termasuk menjemput kesemua Menteri Besar, Ketua Menteri yang diterajui kerajaan dan pembangkang dalam Sidang Majlis Keselamatan Negara mengenai Pengurusan COVID-19.

"Kesemua pemimpin ini bebas menyuarakan pendapat dan cadangan demi memastikan masyarakat dapat dibela dari sudut kesihatan dan ekonomi," tambahnya.