PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berpendirian prosedur dan syarat permohonan kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing perlulah sama seperti anak kepada warganegara lelaki Malaysia yang dilahirkan di luar negara dengan pasangan bukan rakyat Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ia selari dengan prinsip kesaksamaan gender yang terkandung dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

"KPWKM memberi jaminan tindakan segera akan diambil bagi memastikan prinsip asas ini diterjemahkan ke dalam prosedur sedia ada," katanya dalam kenyataan hari ini berhubung isu kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara.

Rina berkata perbincangan berterusan akan diadakan bersama Kementerian Dalam Negeri dalam mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan hak kanak-kanak dilindungi, dijaga dan menjamin kesaksamaan undang-undang dan pentadbiran tanpa diskriminasi.

Bagi penyelesaian jangka masa panjang pula, Rina mencadangkan pindaan dilakukan terhadap Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan berhubung Perkara 14 agar hak kerakyatan bagi anak wanita atau lelaki warganegara Malaysia adalah saksama.

Mahkamah Tinggi pada 9 Sept memutuskan pemberian hak kewarganegaraan secara automatik kepada bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu kandung berstatus warganegara yang berkahwin dengan lelaki warganegara luar.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir yang membuat keputusan itu dalam penghakimannya berkata, perkataan 'bapa' dalam Jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Bagaimanapun, pada Isnin lepas sebuah portal melaporkan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun memaklumkan kerajaan telah memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan tersebut.

Sehubungan itu, Rina berkata KPWKM telah mengadakan sesi libat urus dengan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan input agar kerajaan dapat membuat keputusan sewajarnya tanpa mengenepikan hak wanita yang berkahwin dengan warga asing.

Katanya Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) turut menggariskan beberapa perkara berkaitan isu tersebut antaranya Perkara 2 hak untuk tidak didiskriminasi, Perkara 7 hak untuk mendapatkan kerakyatan dan Perkara 8 hak untuk mengekalkan identiti kanak-kanak termasuk kerakyatan.

Di bawah Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pula, Artikel 9(2) menyentuh mengenai isu pemerolehan kewarganegaraan anak-anak yang dilahirkan oleh wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing, katanya.

-- BERNAMA