TAPAH: Proses pengambilan pekerja asing membabitkan tiga negara iaitu Indonesia, Bangladesh dan Kemboja akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ketika ini kementerian berada pada proses terakhir membabitkan prosedur pengambilan, proses teknikal dan pemeteraian memorandum dengan ketiga-tiga negara itu.

Terkini, beliau ke Dhaka, Bangladesh bagi membincangkan perkara berkenaan dengan rakan sejawatan dan Perdana Menteri negeri itu awal bulan ini.

Menurut beliau, setakat ni kementerian telah menerima lebih 200,000 permohonan pekerja asing secara dalam talian membabitkan kesemua negara berkenaan termasuk Bangladesh.

“Tempoh hari saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri dan Menteri Buruh bangladesh, semuanya selesai. Yang penting adalah saya nak tiada kos imigran, daripada imigran.

“Jangan-jangan kutip duit (daripada imigran). Majikan yang ingin bawa (pekerja asing) kos penerbangan, penginapan semua majikan kena tanggung.

“Apabila mereka (majikan) kutip duit (daripada imigran), negara berhadapan denngan isu buruh paksa,” kata Saravanan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan program tanggungjawab sosial korporat (SCR) Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) 2022 di Dewan Merdeka Tapah di sini, pada Selasa.

Pada program berkenaan, Saravanan menyampaikan 100 komputer riba kepada para pelajar daripada keluarga B40 di daerah berkenaan.

Selain itu, Saravanan memberitahu, beliau juga akan berlepas ke Kemboja bagi memuktamadkan perjanjian pengambilan pekerja dari negara berkenaan.

Mengenai saranan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) agar kerajaan menyegerakan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh, Saravanan berkata, kelulusan perkara berkenaan telah diproses.

Pada Isnin, Papsma dilaporkan meminta kerajaan terutama Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing meluluskan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh secepat mungkin.

Presidennya, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata, kekurangan tenaga kerja khususnya sektor perladangan mengakibatkan kerugian mencecah RM1 bilion setiap hari.