KUALA LUMPUR: Surat kerja bagi pembinaan lebih 600 menara telekomunikasi baharu di Sarawak yang akan menelan belanja lebih daripada RM1 bilion akan dikeluarkan pada bulan ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata tiga kontraktor telah dikenal pasti menerusi tender terbuka dan pihak berkenaan akan memulakan kerja-kerja pembinaan dalam masa terdekat.

Menurutnya, Sarawak merupakan negeri yang diberi tahap keutamaan paling tinggi dalam pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu.

"Sarawak menjadi satu negeri keutamaan yang paling tinggi kerana pada masa ini, 'coverage' (liputan) kalau dari sudut 'connectivity' (kesalinghubungan) ataupun coverage Sarawak itu, baru kira-kira 80 peratus. Kita mesti samakan juga dengan tempat-tempat yang lain untuk mencapai 90 peratus lebih (liputan Internet).

"Kemudian banyak pengguna telefon yang masih lagi menggunakan kemudahan 2G dan 3G, kita harap dengan siapnya 'tower' (menara) ini, kesemua kawasan berkenaan akan mendapat perkhidmatan (rangkaian) 4G," katanya dalam program "Bersama Annuar" di Twitter Spaces kendalian Bernama yang membincangkan tajuk "Capaian Internet-Jangan Ada Yang Terpinggir" malam tadi.

Annuar berkata, kemudahan 4G akan memudahkan urusan masyarakat menggunakan Internet secara komprehensif kerana lebih banyak kegiatan yang boleh dilakukan termasuk program ekonomi digital, e-dagang dan sebagainya.

"Saya dapat beri jaminan bahawasanya untuk Sarawak di kawasan berpenduduk walaupun terpencil, kita akan cuba tingkatkan kemudahan Internet terutama sekali untuk kemudahan anak-anak kita di sekolah.

"Kalau boleh kita tak nak dengar lagi (pelajar dan murid) terpaksa naik duduk di perahu... kita tahu di Sarawak, sungai adalah berbahaya (ada binatang liar seperti buaya) untuk anak ke sekolah, kita harap juga mereka tidak perlu tinggalkan rumah begitu jauh kerana tidak selamat bagi mereka," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata sejajar usaha kerajaan mencapai matlamat 97 peratus capaian Internet 4G di seluruh negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam proses mengeluarkan tender bagi pembinaan lebih 1,161 menara jalur lebar baharu.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat untuk menyalurkan maklumat mengenai masalah capaian perkhidmatan Internet di kawasan mereka menerusi Peta JENDELA di portal JENDELA.

Menurut Annuar, maklum balas serta aduan daripada pengguna amat penting untuk membantu kerajaan meningkatkan kualiti perkhidmatran jalur lebar secara berterusan di kawasan yang mengalami masalah liputan kemudahan itu.

"Untuk tambah baik mutu perkhidmatan Internet, kita perlukan 'feedback' (maklum balas) 'crowd sourcing' (sumber khalayak). Di luar bandar dan di bandar juga wujud kawasan 'blind spot' (titik buta) di mana kawasan tersebut terdapat liputan, namun syarikat telekomunikasi berkenaan tidak menaik taraf liputan mereka," katanya.

Annuar turut berharap syarikat telekomunikasi tidak mengabaikan keperluan Internet di kawasan yang kurang berpenduduk, sebaliknya menggunakan keuntungan mereka untuk menaik taraf perkhidmatan di lokasi berkenaan.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Pos Sedunia hari ini, Annuar turut mengucapkan Selamat Hari Pos kepada semua warga kerja Pos Malaysia.

-- BERNAMA