Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan proses pengundian tepat jam 5 petang walaupun masih ada yang masih beratur menidakkan hak rakyat sebagai pengundi.

Jelasnya, masalah berkenaan bukan berpunca daripada pengundi yang beratur panjang untuk mengundi, sebaliknya proses pengundian yang perlahan.

"Daripada laporan tempat pengundi bahawa ramai yang berhimpun (beratur). Pengundian tidak berjalan dengan begitu cepat, di mana dekat jam 5 petang mereka tidak dapat mengundi kalau dihentikan jam 5 petang. Ini menidakkan hak mereka untuk mengundi," katanya melalui Facebook Live hari ini.

Justeru, beliau berharap SPR memandang serius dan mengkaji semula arahan diberikan berkenaan.

"Saya harap SPR akan ambil perhatian akan perkara ini kerana ini bukan salah pengundi tetapi kerana proses pengundian itu mengambil masa terlalu panjang.

"Saya harap mereka dapat hak mereka mengundi dengan mempercepatkan proses atau membenarkan mereka mengundi selepas jam 5 petang," ujarnya.