Protokol keselamatan di lapangan terbang dipertingkatkan ketika PKP 3.0 - MAHB

Bernama
Jun 17, 2021 12:20 MYT
MAHB berkata pintu masuk dan keluar terminal telah diubah kepada satu laluan sahaja yang dikawal oleh anggota keselamatan penerbangan. Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Protokol keselamatan lapangan terbang di seluruh negara yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah dipertingkatkan seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam menyokong Pelan Pemulihan Negara.
MAHB dalam satu kenyataan hari ini berkata SOP yang ditambah baik itu bertujuan membantu negara melandaikan lekuk kes COVID-19 dan menangani penularan pandemik tersebut.
"Walaupun lapangan terbang di seluruh negara kekal dibuka untuk menyediakan perkhidmatan penting, ia beroperasi dengan 50 peratus tenaga kerja di terminal untuk pekerja shift sementara kakitangan sokongan yang lain diarahkan untuk bekerja dari rumah untuk meminimumkan risiko jangkitan," katanya.
MAHB berkata pintu masuk dan keluar terminal telah diubah kepada satu laluan sahaja yang dikawal oleh anggota keselamatan penerbangan MAHB yang akan menjalankan pemeriksaan awal dan hanya membenarkan masuk kepada mereka berisiko rendah yang tercatat dalam aplikasi MySejahtera.
Kakitangan lapangan terbang juga menjalankan rondaan secara kerap di terminal bagi memastikan penumpang dan komuniti di lapangan terbang mematuhi SOP ditetapkan seperti penjarakan fizikal dan penggunakan pelitup muka dengan betul.
"MAHB bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan berkaitan termasuk agensi kerajaan serta rakan syarikat penerbangan dalam memastikan usaha kami memerangi penularan COVID-19 berjaya," katanya.
-- BERNAMA
#MAHB #SOP #COVID-19 #MySejahtera #PKP #pelitup muka #perintah kawalan pergerakan #Malaysia Airports Holdings Bhd #protokol keselamatan #Pelan Pemulihan Negara