Astro AWANI akan membawa kepada penonton liputan menyeluruh perjalanan proses pengundian dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 sepanjang hari bermula pada pukul 7 pagi Ahad sehingga awal pagi Isnin.

Pengurus Besar Astro AWANI, Rozina Aziz berkata, liputan saluran berita 24 jam itu cuba untuk menetapkan piawai baru pemberitaan televisyen selaras dengan kemajuan teknologi semasa.

"Kami mahu mengubah cara orang mengikuti pilihan raya melalui liputan yang menyeluruh melalui televisyen, laman media sosial dan laman web," katanya.

Liputan menyeluruh itu mengangkat tema Malaysia Memilih 2013. Ia boleh diikuti melalui laman web ini secara penstriman langsung atau melalui Astro On The Go.

Astro AWANI juga minggu ini melancarkan aplikasi untuk peranti mudah alih yang menggunakan iOS (iPhone dan iPad) serta Android yang boleh diperolehi daripada AppStore atau Google Play.

Applikasi itu setakat pagi Ahad duduk di tempat kedua dalam senarai aplikasi berita percuma untuk iPad dan di tempat keempat untuk aplikasi percuma bagi iPhone.

Rakyat Malaysia di tanah air dan di luar negara boleh mengikuti laporan perkembangan semasa dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta mengikuti keputusan rasmi yang diumumkan pada masa nyata, selain menonton video dan menatap foto dari lokasi yang dipaparkan di laman web ini.

Wartawan Astro AWANI yang berada di seluruh negara juga akan mengemaskinikan laporan mereka dari masa ke masa termasuk memuat naik klip video dari lokasi.

Dalam pada itu, Rozina menjelaskan Astro AWANI mengambil pendekatan untuk memberikan keutamaan kepada suara rakyat dalam liputannya.

"Pendekatan kami dalam Malaysia Memilih ialah tentang demokrasi penyertaan, suara dari bawah ke atas dan pemberdayaan rakyat," katanya.

Mulai pukul 5 petang Ahad, Astro AWANI akan membawakan laporan semasa perkembangan proses pengiraan undi di seluruh negara serta analisis keputusan dari Studio 1 Astro di Bukit Jalil.

Diskusi analisis itu antara lain menampilkan penganalisis politik terkemuka termasuk Karim Raslan; Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian; Ketua Pengawai Eksekutif CENSE, Fui K. Soong dan ramai lagi.

Diskusi itu juga akan menggunakan data kajian Institut Kajian Etnik UKM (KITA) bersama pengarahnya, Prof. Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Felo Penyelidik Kanan, Anis Yusal Yusoff.

Selain itu, ia turut menampilkan analisis bersama beberapa orang penyelidik daripada Pusat Kajian Demokrasi dan Politik Universiti Malaya (UMCEDEL).

Anda dijemput untuk berkongsi pandangan atau mengemukakan soalan melalui Facebook, Twitter , Instagram and YouTube, atau melalui laman web ini.