TIDAK salah kalau saya andaikan Pilihan Raya Umum (PRU) ini sebenarnya satu himpunan permainan teka-teki. Sejak selepas pengumuman keputusan PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, rakyat negara ini sudah mula bermain teka-teki.

Ada yang berteka-teki tentang kemampuan kerajaan baru di beberapa negeri serta kemampuan wakil-wakil rakyat yang dipilih dan tidak kurang juga penyelesaian isu-isu yang ditimbulkan oleh pihak kerajaan serta pembangkang sejak 2008 sehingga hari ini demi meraih sokongan rakyat dalam PRU ke-13.

Permainan teka-teki ini sebenarnya sudah hampir ke penghujung.

Satu demi satu jawapan sudah kita ketahui. Istimewanya, soalan teka-teki tarikh pembuangan undi jadi antara penamat permainan tanda tanya ini sebelum bermulanya teka-teki baru yang lebih besar selepas pengumuman keputusan PRU ke-13 kelak.

Hari ini teka-teki tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi sudah terjawab. Namun rasanya meneka tarikh-tarikh yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini tidaklah sesukar menjawab teka-teki detik pembubaran Parlimen.

Bagaimana tidak, jika dikira beberapa kemungkinan Sabtu atau Ahad yang ada sehingga 28 Mei ini, jawapannya kurang daripada 10 gabungan sahaja.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd.Yusof dalam kenyataannya sehari sebelum pengumuman ini memberikan bayangan yang cukup jelas bahawa hari bekerja dan cuti sekolah bukan pertimbangan utama untuk menetapkan tarikh pilihan raya.


Sebaliknya, apa yang jadi pertimbangan ialah hari kebesaran agama dan kebudayaan serta keadaan cuaca berdasarkan kepada nasihat Jabatan Meteorologi.

Di pusat media PRU ke-13 SPR ini, petugas media sejak seawal pukul 7 pagi sudah mula berhimpun di sini. Debaran cukup terasa dan perbincangan petugas media terarah kepada negeri yang akan dijaga sepanjang musim PRU selain teka-teki tarikh pembuangan undi.



Berbual dengan seorang pegawai SPR, saya cuba mengorek beberapa maklumat mesyuarat yang sedang berlangsung, mungkin ada yang boleh dikongsi.

"Sabarlah boh, sekejap saja lagi," katanya dalam pelat Terengganu pekat.


Dan selepas teka-teki hari ini terjawab, rakyat kini dihidangkan satu teka-teki terakhir yang hanya akan terjawab selepas pengumuman keputusan PRU ke-13 pada 5 Mei ini.

Saya teringat dialog popular Ibrahim Pendek dalam filem Ali Baba Bujang Lapok: "Mari kita tengok siapa yang kena!"