Senario politik semasa bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini berdepan situasi berbeza berikutan perubahan lanskap politik di negara ini.

Justeru, usaha katanya perlu dilipatgandakan dan tidak memandang remeh dengan menganggap pertandingan tiga penjuru memberi kelebihan kepada UMNO mahupun BN.

“Dahulu seolah-olah kita berada di dalam sistem dua kepartian. BN dan lawan pembangkang. Kini ekosistem politik telah berubah. BN lawan Pakatan Harapan dan di tengah-tengahnya kawan-kawan kita daripada Pas.

“Pada telahan saya hampir pasti di semua kerusi kita akan menghadapi pertandingan tiga penjuru,” kata Ahmad Zahid ketika berucap demikian pada Majlis Himpunan Mesra Rakyat Dan Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat Plus Parlimen Marang di sini hari ini.


Menurut beliau lagi, jentera UMNO dan BN memerlukan rangsangan serta pendekatan yang lebih berkesan sejajar cabaran serta perkembangan semasa.

Ia perlu digerakkan menerusi tiga matlamat iaitu mendapatkan kembali kerusi yang tewas atau regain mempertahankan kerusi yang menang, retain dan mendekati rakyat keseluruhannya atau pursuitable.