Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika ada pilihan raya, ia sekali gus akan menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO 2017.

"PRU boleh dilakukan pada bila-bila masa dan jika ada pilihan raya kita akan tangguhkan Perhimpunan Agung UMNO," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, Perhimpunan Agung UMNO 2017 dijadualkan akan diadakan pada 5 sehingga 9 Disember depan.

Beliau berkata, ia akan bermula dengan taklimat Presiden dan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri.

"MT juga mengambil maklum bahawa persidangan peringkat bahagian berjalan dengan baik, mendapat sambutan, disiplin pun baik dan tidak ada 'kerusi melayang'.

"Semangat ahli UMNO yang tinggi ini menunjukkan kesiapsiagaan jentera parti. Kerja memurnikan parti menjelang PRU ke-14 perlu diadakan," katanya.