UMNO Johor perlu bangkit dan menebus semula maruah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan merampas kembali kerusi yang hilang kepada pembangkang, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata meskipun pada mulanya dibolosi atas kesilapan teknikal, pihak pembangkang bagaimanapun berupaya meningkatkan pegangan kerusi di Johor pada PRU13.

"Mengikut profil di Johor ini, saya bimbang dengan apa yang kita (UMNO dan Barisan Nasional) perolehi (pada PRU13 lepas), Johor adalah tapak kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi telah dibolosi pihak pembangkang," katanya.

Namun beliau percaya UMNO Johor yang dipimpin oleh Menteri Besar dan Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mampu membuat penebusan maruah dan merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen tersebut.

"Bagaimanapun, ia tidak akan berjaya tanpa dukungan rakan-rakan yang terdiri daripada sayap-sayap di bawah UMNO dan BN," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata selagi dirinya menjadi pembantu kepada presiden parti, beliau akan memberi tumpuan untuk membantu rakyat dan kerajaan negeri Johor untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN di Johor.

Beliau berkata kemenangan UMNO dan BN di Johor adalah penting memandangkan ia adalah kubu kuat parti itu dan mempunyai hubung kait senario politik di Malaysia.

"Bangun orang Johor, bangkit orang Johor, bangkit UMNO Johor! Tebus balik kerusi-kerusi yang kalah, kita rampas balik kerusi-kerusi yang majoritinya (undi) kecil di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Saya yakin beliau mampu melakukan penebusan maruah ini semula," kata timbalan perdana menteri.

Pada PRU13, BN memenangi 21 daripada 26 kerusi Parlimen dan 38 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Johor.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan betapa pentingnya kerjasama, semangat perpaduan dan bersatu antara UMNO dan parti komponen BN yang lain.

Katanya pada dua pilihan raya umum yang lepas parti MCA, MIC serta beberapa parti komponen BN yang lain mengalami masalah "trust deficit" atau "kurang keyakinan" dan krisis kepimpinan sementara UMNO pula berjaya mengekalkan prestasi yang baik.

"Tetapi ketika kita (UMNO) susah, parti-parti inilah (komponen BN) yang menolong UMNO. Ketika UMNO mengalami krisis pada tahun 1987-88, UMNO diharamkan, parti-parti inilah yang membantu memenangkan.

"Saya ingin mengingatkan diri saya, ketika ini parti-parti ini sedang susah, bukan kerana mereka susah sebab mereka lemah tetapi dilemahkan oleh pihak yang tidak suka dengan pemikiran parti-parti itu dan memecahbelahkan orang-orang Cina, orang-orang India dan orang bukan Melayu yang lain," kata Ahmad Zahid.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga naib presiden UMNO dan ketua UMNO Bahagian Sembrong dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Md Jais Sarday.

Terdahulu, timbalan perdana menteri turut merasmikan Rumah Komuniti Parlimen Sembrong.