Watikah calon mewakili Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijadual diumum dan diserah seawal Selasa ini dengan ramai nama Pemuda 'digugur' dari senarai akhir.

Menurut sumber dalaman Barisan Nasional, peratusan calon Pemuda BN difahamkan terlampau rendah sekali gus menyebabkan situasi panik di dalam kem sayap itu sendiri.

"Jumlah Pemuda BN yang masuk senarai adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan lebih 700 nama calon yang akan diumumkan.

"Watikah akan diumum dan diserahkan dalam masa terdekat, mungkin Selasa. Ada juga kemungkinan 21 April, kita tunggu sahajalah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: Pemuda BN jangan kecewa jika tidak dipilih jadi calon PRU14 - TPM Ahmad Zahid

BACA:
BN jangka umum calon 7 hari sebelum penamaan

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN akan memecah tradisi dengan menamakan lebih awal calon pilihannya bagi bertanding dalam PRU berbanding amalan biasa sebelum ini.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, berkata bagi PRU-14, calon parti komponen BN akan diumum 'lebih awal' tetapi tidak 'terlalu awal'.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Pemuda BN agar tidak terlalu kecewa jika tidak dipilih menjadi calon PRU14.

Sebaliknya, Ahmad Zahid mengingatkan semua jentera parti agar terus berusaha memastikan kemenangan BN pada 9 Mei nanti.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun sebelum ini berharap pucuk pimpinan parti BN mempertimbangkan lebih ramai calon Pemuda BN bertanding mewakili parti pada PRU14.

Jelasnya, Pemuda BN akan berusaha memastikan aspirasi berkenaan dapat dilaksanakan.

"Istilah kekecewaan tidak pernah wujud dalam Pemuda BN. Kita sentiasa mendukung aspirasi dalam mempertahankan wardah ini dan kita yakin BN akan menang.

"Cuma saya mohon supaya pucuk pimpinan dapat mempertimbang keperluan untuk mengetengahkan lebih ramai calon yang terdiri daripada pimpinan Pemuda dan Puteri sama ada untuk DUN dan juga Parlimen. Jadi itu aspirasi kami," kata Khairul Azwan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini menafikan dakwaan bahawa senarai calon yang akan mewakili BN sentiasa berubah-ubah.