LIPIS: Sebanyak 56 lesen diluluskan oleh Kerajaan Pahang bagi pengusaha lombong emas di bawah Skim Pelombong Kecil (SPK) di tiga buah kampung di kawasan Padang Tengku, Lipis tahun ini.

Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN) Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebanyak 68 permohonan lesen sedang menunggu kelulusan, membabitkan Kampung Petola, Kampung Dada Kering dan Kampung Pagar Sasak di Padang Tengku.

“Diharapkan pemohon lesen di tapak berkeluasan di bawah 4.05 hektar bersabar kerana dalam tempoh ini kerajaan negeri dan Pahang Mining Corporation (PMC) masih tidak mengadakan mesyuarat kerana berdepan PRU15.

"Namun, perkara ini sudah ada dalam pengetahuan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana calon BN DUN Padang Tengku, Datuk Mustapa Long sendiri menghantar permohonan berkenaan.

"Menteri Besar juga maklumkan lesen melombong akan diluluskan dalam masa terdekat," katanya selepas program Sehari Bersama Pekebun Kecil Makmur dan penduduk Asli majlis di Kampung Dada Kering dekat sini hari ini.

Beliau yang juga penyandang kerusi Lipis, berkata SPK ditawarkan kepada 56 pengusaha di tiga buah kampung tersebut pada Jun lalu.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15:Khairy mampu tawan Sungai Buloh - Penganalisis politik

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Katanya, SPK diwujudkan kerana kerajaan menyedari terdapat pelbagai kekangan seperti keperluan permohonan melombong yang ketat, tempoh proses yang lama, kos pengendalian yang tinggi dan kesan ke atas alam sekitar.

"Melalui pelaksanaan SPK kelak, aktiviti perlombongam boleh dilaksanakan secara berkelompok termasuk menggabungkan atau perkongsian antara pengusaha dengan tanah pemilik bersebelahan untuk menjimatkan kos pengendalian.

"Kerajaan negeri dan PMC sentiasa memantau pengoperasian lombong menjadi lebih teratur menerusi pengeluaran Sijil Pelesenan Melombong (SPL) yang mengutamakan aktiviti perlombongan mesra alam untuk memberikan kesan yang minimum kepada alam sekitar," katanya.

Katanya, kerajaan negeri turut menerima permohonan daripada pengusaha lombong tersebut untuk mendapatkan peralatan tambahan seperti jengkaut dan pam air bagi kerja melombong menerusi Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung tersebut.

"Permohonan juga daripada pengusaha berkenaan bagi kebenaran mendalamkan operasi cari gali kepada kedalaman enam meter berbanding tiga meter sebelum ini juga telah diterima dan kerajaan negeri dan PMC dalam pertimbangan kelulusan selepas PRU15 ini," katanya.

Beliau berkata, usaha meluluskan lesen melombong di bawah SPK kerana kerajaan negeri amat prihatin untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, malah menyedari kampung tersebut berpotensi sebagai kawasan pengeluaran emas secara komersial.

"Buat permulaan sejak memperoleh lesen, ada kalangan pengusaha di sini memperoleh pendapatan bulanan kira-kira RM10,000 dan dijangka meningkat sekiranya usaha cari gali diperdalamkan dan perluasan kawasan operasi,” katanya.