SHAH ALAM: Majoriti rakyat Malaysia dijangka terlibat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI University mengenai persepsi orang ramai terhadap pilihan raya berkenaan, 73 peratus daripada 1,765 responden positif akan keluar mengundi di tempat masing-masing.

Sementara itu, 318 daripada 1,765 responden adalah pengundi kali pertama berumur antara 18 hingga 22 tahun melibatkan 1,002 dari kawasan bandar manakala 763 dari kawasan luar bandar.

Pengundi kali pertama juga cenderung menyokong BN dengan peratusan mencecah 44 peratus; Pakatan Harapan (PH-30 peratus) dan Perikatan Nasional (PN-15 peratus).

Daripada jumlah itu, 34 peratus daripada responden akan mengundi berdasarkan parti atau gabungan manakala 23 peratus lagi berdasarkan calon.

Selain itu 37 peratus pula mempertimbangkan parti dan calon manakala enam peratus lagi tiada respon.

Kaji selidik itu turut mendapati, 847 rakyat bersetuju individu yang terlibat dengan kes mahkamah tidak sepatutnya menjadi calon PRU15 manakala 43 peratus atau 759 orang pula beranggapan sebaliknya selagi mana individu terlibat belum didapati bersalah oleh mahkamah.

Selain itu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih menjadi pilihan untuk memegang jawatan berkenaan selepas PRU15 dengan 24 peratus undian manakala Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat 22 peratus undi.

Dalam kalangan mereka, Ismail Sabri adalah pilihan kaum Melayu manakala Anwar Ibrahim pilihan kaum Cina.

Selain itu, mereka turut menamakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (15 peratus); Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddn Yassin (10 peratus); Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (8 peratus); Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (4 peratus) dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Tun Dr Mahathir Mohamad (2 peratus).

Berdasarkan kaji selidik berkenaan juga, 52 peratus daripada pengundi kawasan bandar cenderung untuk menyokong PH sementara 60 peratus pengundi luar bandar cenderung menyokong BN.

Isu utama yang menjadi kebimbangan untuk diurus oleh kerajaan baharu melibatkan baik pulih ekonomi negara, kestabilan tadbir urus, galakkan keharmonian dan perpaduan serta pembasmian rasuah. - Sinar Harian