Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya bakal menamakan 14 muka baharu, daripada kesemua 31 kerusi yang ditandingi.
"Kita (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan memperkenalkan seorang wanita muda dan berpengalaman, selain pemimpin pelapis daripada sayap Pemuda.
"Keseluruhannya mungkin ada tiga muka baharu," katanya lagi dalam pertemuan eksklusif bersama Astro AWANI di pejabatnya pada Khamis.
Abang Johari memberitahu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan mengisi kekosongan enam kerusi tradisi, yang mereka tewas pada PRU lalu juga dengan calon muka baharu.
" Sekurangnya-kurangnya dua calon muka baharu dan seorang dua yang mungkin ada kerusi di Dewan Undangan Negeri namun tidak pernah bertanding di peringkat Parlimen," katanya lagi, sambil mengesahkan Timbalan Presiden SUPP, Datuk Seri Richard Riot Jaem akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Serian untuk penggal kelapan.
Sementara itu, sumber GPS memberitahu, Parti Demokratik Progresif (PDP) pula dijangka menamakan dua muka baharu di Parlimen Saratok dan Mas Gading, manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) menamakan calon muka baharu termasuk seorang wanita di empat kerusi yang ditandinginya, iaitu di Parlimen Selangau, Julau, Lubok Antu dan Sri Aman.
Pada PRU14, GPS menang 19 daripada 31 kerusi yang ditandingi.
Sepanjang penggal tersebut, parti itu kehilangan satu kerusi apabila Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat mengumumkan keluar PRS untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Namun situasi itu ditampung kemasukan bekas Ahli Parlimen PKR dan Bersatu di Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, ke dalam PBB.
GPS dijadualkan mengumumkan senarai penuh calonnya pada 3 November depan.