IPOH: Golongan pengundi muda diminta untuk bertindak bijak dalam memilih pemimpin yang akan membentuk kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata anak muda seharusnya tidak terpengaruh dengan sebarang hasutan negatif daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya minta anak muda supaya boleh menilai pemimpin macam mana yang boleh kita tonjolkan. Jangan kita terpukau dengan propaganda hasutan kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Amanat Anwar Ibrahim di sini pada Jumaat.

Ia merupakan sebahagian daripada salah satu siri kempen PRU15 beliau sebagai calon PH di Parlimen Tambun sebelum hari pengundian pada esok.

Dalam pada itu, Anwar meminta agar pengundi muda dapat memujuk ahli keluarga mereka untuk membuat perubahan pada PRU kali ini.

Beliau juga memberi jaminan sekiranya dapat membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU15, PH akan berusaha memperjuangkan isu-isu termasuk berkaitan anak muda seperti mutu pendidikan dan peluang pekerjaan.

Pada masa itu, Anwar mengulangi kekesalannya terhadap kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa PH mempunyai kaitan dengan agenda Kristianisasi dan pengaruh Yahudi.

“Muhyiddin ini terdesak nak kalah. Jadi dia bawalah cerita kononnya jika Anwar  dan PH memang, kita akan bawa agenda Yahudi dan Kristianisasi.  

“Dia kata tengok pada media sosial. Ini masalah orang lama, dia dengar sahaja kata ada bukti. Patut dia dengar nasihat daripada anak muda yang pakar dalam media sosial,” katanya lagi.