Ujar Muhyiddin, perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah baginya kerana segala pergerakan kewangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN melalui proses audit dan ia juga boleh diakses oleh semua pihak.
“Kita (PN) ada perhimpunan agung dan antara agenda adalah bentangkan penyata tahunan dan boleh diakses oleh sesiapa pun kerana ia telah diaudit. Setakat hari ini tiada sebarang kenyataan dari Pendaftar Pertubuhan mengatakan laporan tahunan saya (parti) tidak sah.
“Saya audit betul-betul walaupun satu sen, berapa ratus... semuanya diaudit, jadi saya fikir apa sebab Anwar nak cabar-cabar sehingga perkara ini pun nak dijadikan isu, dah tiada modal lain ke,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Ramah Mesra penduduk di Kampung Jawa Lenga di sini, pada Khamis.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 'Deklarasi Profesor Melayu G70 sokong Anwar' tidak wakili MPN - Ismail Sabri
SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu menganggap Anwar terdesak kerana bimbang dengan sentimen pengundi terhadap PN ketika ini yang semakin memuncak.
“Dia (Anwar) mungkin tertekan bila tengok trend ketika ini mungkin menjurus kepada PN, anak-anak muda semakin ramai (bersama PN). Dia ada data saya pun ada data dan kalau data dia betul… maka kalau nak menang kena serang Muhyiddin.
“Bagi saya ini soal persaingan politik dalam sistem demokrasi, ada orang suka ada orang tak suka, jadi biasalah. Nak gelar saya 'Bapa PKP' (Perintah Kawalan Pergerakan) pun dia faham ke apa itu PKP, sepatutnya dia (Anwar) bersyukur kerana masih hidup," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin mendakwa serangan bertubi-tubi yang diterima daripada Presiden PKR itu juga memberi gambaran bahawa seolah-olah wujud kerjasama Anwar dan Barisan Nasional (BN).
Jelas Muhyiddin, perkara itu juga boleh dilihat menerusi beberapa siri jelajah Pakatan Harapan (PH) sewaktu berkempen di Bagan Datuk.
“Saya pun pelik kenapa Anwar ke Bagan Datuk di kawasan mana dia sedar perlu menghadapi (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi tetapi dia tak sentuh (serang) langsung (Ahmad Zahid).
“Apakah betul pandangan sesetengah pihak seolah-olah ada bentuk persefahaman atau kerjasama andai kata mereka tidak mampu mencapai majoriti.
“Jadi bila Anwar datang ke tempat Zahid atau Zahid ke tempat Anwar maka mereka tidak serang antara satu sama lain... begitulah politik,” katanya lagi.
Tegasnya lagi, pihak lawan tidak mempunyai sebarang 'senjata' kukuh untuk dijadikan bahan serangan berikutan Muhyiddin yang menyatakan beliau tidak mempunyai sebarang kes selain menganggap apa yang dilontarkan sebagai isu yang remeh.
Baru-baru ini, Anwar dilaporkan mencabar Muhyiddin supaya mendedahkan penyata kewangan PN sebelum pihaknya melakukan perbuatan sama.
Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi PH mendakwa PN merupakan parti politik terkaya akibat memperoleh projek berbilion ringgit sewaktu tempoh pandemik.
Malah Anwar juga mendakwa Muhyiddin banyak mengeluarkan projek tanpa tender sewaktu menggalas jawatan Perdana Menteri.