CYBERJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengadakan perbincangan dengan agensi pakar keselamatan siber kebangsaan CyberSecurity Malaysia (CSM), sebagai antara langkah untuk mendepani cabaran pencerobohan siber ketika musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pencerobohan siber sebagaimana yang pernah berlaku ketika PRU14 lepas, iaitu apabila ada telefon bimbit sesetengah calon pilihan raya digodam dan ada telefon calon 'hang' tiba-tiba, perlu diberi perhatian.

"Kita cuba berbincang dengan CSM supaya kita dapat laporkan sebarang masalah dengan kadar segera kepada mereka. Ia membolehkan CSM mengenal pasti penggodam terlibat secepat mungkin," katanya ketika mengulas strategi kerajaan menangkis pencerobohan siber dan penyebaran berita palsu ketika PRU15.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menutup Pertandingan Akhir Wacana Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Kebangsaan - Piala Cabaran CyberSAFE(TM) 2022 (NICTSeD) di sini hari ini.

Sementara itu merujuk kepada penyebaran berita palsu semasa PRU pula, Zahidi menasihatkan para pengundi agar jangan mudah percaya maklumat tidak sahih yang tular di media sosial.

"Kalau boleh kita minta pengundi berhati-hati dan ada kesedaran. Jangan percaya terus, sebab kita tak mahu jadi macam PRU14, ada beberapa isu mereka dengar dan rasa ia betul, tetapi lepas pilihan raya (didapati) rupa-rupanya ia tidak benar," katanya.

Di Malaysia, sebarang perkongsian berita yang bersifat palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada peringkat akhir NICTSeD edisi kesembilan hari ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, Pahang dinobatkan sebagai johan selepas berjaya membentangkan hujah berkaitan keselamatan siber, manakala SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur di tempat kedua dan SMK Sultan Abu Bakar, Pahang di tempat ketiga.

NICTSeD merupakan inisiatif CSM di bawah program 'CyberSAFE in Schools' yang diadakan khusus bagi memupuk kesedaran dan membina pengetahuan generasi muda tentan kepentingan keselamatan siber, dan penggunaan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA