KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersedia meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan itu akan dilaksanakan jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

"Kita tidak lagi mahu, anak-anak yang dilahirkan melalui perkahwinan campur atau mereka yang berbeza identiti bangsa dan agama dinafikan hak untuk menjadikan Malaysia tanah air tercinta.

"Oleh itu, saya tegaskan di sini bahawa BN bersedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

"Ini kita lakukan atas kesedaran bahawa patriotisme dan nilai sayangkan negara itu hadir daripada kerencaman dan keterangkuman," katanya dalam pengumuman manifesto BN, Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU), di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, BN juga, kata beliau, merancang melaksanakan pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui saringan Jawatankuasa Khas Parlimen.

Ahmad Zahidi menegaskan, BN nekad memastikan amalan politik di negara ini dihidupkan hanya dengan cara yang bertanggungjawab dan telus melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik.

"BN nekad memastikan amalan politik di negara ini dihidupkan hanya dengan cara yang bertanggungjawab dan telus melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik.

"Pada masa sama, pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi SPR akan melalui saringan Jawatankuasa Khas Parlimen.

"Melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini," jelasnya.