SEREMBAN: DAP akan mengumumkan senarai calonnya bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di setiap negeri secara berperingkat bermula minggu depan, kata Setiausaha Agung, Anthony Loke.

"Kami belum memuktamadkan lagi calon-calon. Negeri-negeri telah menghantar cadangan mereka, kami akan membincangkan dan memuktamadkannya," kata beliau kepada pemberita selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Seremban, di sini, hari ini.

Loke yang juga penyandang kerusi Parlimen Seremban, optimis dapat mempertahankan kerusi tersebut berdasarkan pengalaman lebih 18 tahun berkhidmat di kawasan tersebut.

"Saya telah lama berkhidmat di Parlimen Seremban iaitu dua penggal, sebelum itu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak selama dua penggal, jadi pengalaman saya lebih 18 tahun pengalaman politik saya di Seremban," katanya.

Loke memenangi kerusi Parlimen Seremban dengan majoriti 30,694 undi pada PRU14.

Di GEORGE TOWN, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata DAP akan kekal bertanding di tujuh kerusi Parlimen di negeri itu seperti yang dipertandingkan dalam PRU lalu dengan senarai calonnya akan diumumkan minggu depan.

Chow, yang juga Ketua Menteri, berkata tiada penambahan atau perubahan pada jumlah kerusi Parlimen untuk parti itu di Pulau Pinang.

"Kita cuma cadangkan nama calon sahaja dan pusat akan teliti sebelum membuat pegumuman," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada PRU14, DAP Pulau Pinang bertanding tujuh kerusi Parlimen iaitu Bagan diwakili Lim Guan Eng; Bukit Mertajam (Steven Sim); Batu Kawan ( P. Kasthuriraani); Bukit Bendera (Wong Hon Wai); Tanjong (Chow Kon Yeow); Jelutong (RSN Rayer) dan Bukit Gelugor oleh Ramkarpal Singh.

-- BERNAMA