KUALA LUMPUR: Kebarangkalian untuk terbentuknya kerajaan campuran itu tidak dapat dinafikan boleh terjadi selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan nanti, melihat kepada dinamik politik negara pada hari ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengakui beliau teruja untuk menyaksikannya berlaku kerana ia menyediakan pentas untuk individu-individu terbaik dari setiap pihak bergabung untuk bersama memimpin negara.

“Bagi saya, kita memanglah nak 'dream team' untuk Malaysia, kita nak kumpulan orang terbaik untuk negara ini sebab kita nak tebus dan set semula selepas COVID-19.

“Kalau kita boleh dapatkan 'dream team' yang terbaik, mengapa tidak?” ujarnya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.

Azalina berkata demikian berdasarkan pengalamannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat di mana beliau melihat kali ini suasananya agak berbeza.

Menurutnya, percakapan antara Ahli-Ahli Parlimen di dalam Dewan itu tidak berbaur kebencian tetapi hanya untuk kemaslahatan umum.

Begitu pun, beliau menegaskan bahawa itu adalah pendapat peribadinya dan tidak mewakili partinya secara keseluruhan.

PRU15: Kerajaan gabungan: Kita mahu 'dream team' untuk negara, kenapa tidak? - Azalina Othman