KUALA LUMPUR: Persaingan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini bukan sekadar persaingan merebut tempat sebagai wakil rakyat, tetapi juga menjadi medan menunjukkan kreativiti masing-masing di media sosial.

Penganalisis Politik dan Media Sosial UiTM, Prof Madya Sara Chinnasamy berkata, biarpun internet sudah lama wujud tetapi faktor pertambahan pengundi muda yang ketara menjadikan platform media sosial muncul sebagai platform paling signifikan dalam usaha memikat hati pengundi.

"Hampir semua calon menggunakan TikTok untuk mendekati generasi muda khususnya yang berusia 18 tahun yang bakal mengundi.

"Ini meningkat bersama meningkatnya pengundi muda seperti tahun 2008, 500,000, 2013 seramai 1.3 juta dan 2018 seramai 6.1 juta. Angka ini akan meningkat sehingga 10 juta bagi  pengundi muda dan kali pertama," katanya ketika muncul dalam program Malaysia Memilih, pada Khamis.

PRU15 | Kempen pilihan raya digital


Tularnya sesebuah hantaran atau video di media sosial bergantung kepada strategi yang betul, sekali gus membawa capaian yang lebih menyeluruh kepada kumpulan sasaran.

"Ada masanya kita boleh membuat interpretasi dari segi viral, sejauh mana ia beri penekanan mendalam terhadap satu-satu isu.

"Kita ambil contoh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin buat TikTok menggunakan lagu hiphop penyanyi Singapura dalam 15 saat dapat 322 likes.

"Elemen kreativiti ini yang boleh mempengaruhi minda dan hati pengundi muda, parti politik kena bergerak sehaluan dengan perkembangan teknologi semasa.

"Walaupun ada manifesto tetapi lebih penting bagaimana ia diinterpretasikan dalam bentuk kreativti untuk mempengaruh pengundi," ujarnya.

Bagaimanapun, perlumbaan di media sosial berpotensi menjadi perang fitnah apatah lagi semua pihak bersaing mahu menjadi yang paling tular dan pantas.

"Kadang-kadang ada elemen fitnah dan hasutan yang tidak beretika. Perdebatan di media sosial untuk mencantas idea atau manifesto menerusi video di TikTok juga berlaku.

"Jadi saya percaya ahli politik perlu guna fakta dan figure untuk tampilkan sebarang info dalam di TikTok supaya ada perbandingan secara baik, bukan berunsur fitnah sebab ia akan wujudkan rasa muak rakyat.

"Rakyat sudah lalui tiga fasa pemerintahan berbeza, kini kita menyaksikan perlumbaan di media sosial di mana semua pihak gunakan semua platform media sosial tapi yang penting ialah siapa yang keluarkan maklumat betul dan sahih dan tidak mengandungi elemen negatif.