Manakan tidak, poster yang terpampang sosok Pengerusi PH merangkap Presiden PKR itu disifatkan begitu unik dan besar. Ketinggiannya pula boleh dikatakan melebihi bangunan dua tingkat.
Anwar yang disebut-sebut sebagai salah seorang 'giant' di Perak itu seolah-olah ingin bersaing dengan seorang lagi calon yang turut dilabel gelaran sama, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau Peja.
Masing-masing bakal berentap di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, justeru tidak menghairankan pelbagai taktik serta strategi diguna pakai bagi meraih undi.
Poster gergasi yang berada di tepi jalan itu tertera tulisan 'Calon No 1 Anwar Ibrahim P063 Tambun - Dari Tambun untuk Malaysia', dengan gambar Anwar lengkap berbaju Melayu.
Sebelum ini, Peja tular dengan papan iklan 'Ayor bukan Ayaq', 'Never Lost in Tambun' dan 'Dari Tambun susur keluar ke Utara, 50m', yang dipercayai merujuk kepada pesaingnya itu.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen di media sosial berhubung poster gergasi itu, netizen memberi reaksi pelbagai.
Ada di antara mereka yang terhibur dan menganggap ia sedikit sebanyak mewarnai suasana ketika tempoh berkempen.
Tidak kurang juga yang mendakwa kedudukan poster tersebut kurang sesuai diletakkan di lokasi itu dan ada juga yang melahirkan rasa terkejut dengan saiznya yang luar biasa.
Parlimen Tambun bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Anwar, Ahmad Faizal, Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN-UMNO) dan Abdul Rahim Tahir (GTA-Pejuang).
Sementara itu, tinjauan di sekitar Gugusan Manjoi juga mendapati perang bendera di antara gabungan yang bertanding menghangatkan lagi suasana dalam tempoh berkempen yang berbaki enam hari lagi.