KUALA LUMPUR: Walau apa pun kebarangkalian konfigurasi politik boleh terjadi selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan, rakyat harus tetap menunaikan tanggungjawab mengundi.

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berkata, sekurang-kurangnya, apa jua keputusan pengundian nanti menjadi representasi yang membawa suara seluruh warganegara, bukan kumpulan penyokong tegar parti-parti politik tertentu sahaja.

Kebiasaannya sebelum ini, katanya, pakatan dan gabungan parti diisytiharkan sebelum hari mengundi namun kali ini, melihat kepada keadaan politik sejak dua tahun belakangan ini, konfigurasi itu besar kemungkinan akan dibuat selepas pilihan raya.

“Bagaimanapun, kalau dari segi strategi politiknya, kita lihat sejarah, pengundian taktikal iaitu dari segi bekerjasama sebelum PRU, tidak menjamin pemindahan undi itu secara mutlak atau ketara, seperti yang kita jangkakan,” tambahnya.

Jadi, untuk mengelakkan kekeliruan atau kekecewaan terhadap keputusan PRU15 nanti, Amir Fareed memberikan dua perkara yang harus menjadi pegangan para pengundi.

Pertama, katanya, pengundi harus bijak mengkaji dan memilih calon yang memiliki nilai yang didambakan sebagai seorang perwakilan yang benar-benar berupaya membawa aspirasi rakyat.

“Kedua, untuk menguruskan jangkaan. Kerana, gabungan pasca pilihan raya ini pernah berlaku sebelum ini. Dan mungkin akan berlaku lagi. Jadi, rakyat perlu bersedia.

“Saya tak kata ia 100 peratus akan terjadi. Mungkin juga akan ada satu parti yang mendapat majoriti yang besar, maka konfigurasi tidak diperlukan,” jelas beliau.

Namun, tegas beliau sekali lagi, jangan jadikan ketidaktentuan masa depan ini sebagai alasan untuk tidak keluar mengundi kerana setiap undi itu amat berharga dalam menentukan masa depan negara.

PRU15: Harus tetap mengundi, sebarang kemungkinan boleh terjadi - Amir Fareed