KUALA LUMPUR: Meletakkan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia Tenggara yang berteraskan industri masa hadapan serta mewujudkan 1 juta pekerjaan baharu dalam bidang berpendapatan tinggi antara janji Perikatan Nasional dalam manifesto mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan penelitian Jawatankuasa Tawaran PN tentang keperluan utama rakyat, isu ekonomi dan kos sara hidup merupakan perkara pokok yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan yang bakal dibentuk.

"Perikatan Nasional akan memberi tumpuan segera kepada usaha memulihkan ekonomi secara menyeluruh dan mampan.

"Kita berhasrat untuk menjadikan Malaysia paksi ekonomi Asia Tenggara yang berteraskan industri masa hadapan dengan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion serta menggalakkan industri berteknologi tinggi bagi meningkatkan nilai tambah dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi khususnya tenaga kerja muda.

"Jika terpilih, mesyuarat Kabinet pertama kerajaan Perikatan Nasional akan membincangkan cara-cara untuk menangani masalah kos sara hidup rakyat yang kian meningkat disebabkan oleh masalah inflasi dan kenaikan harga barang.

"Kita tahu kenaikan harga barang ini disebabkan oleh beberapa faktor termasuk gangguan bekalan dan kos bahan import yang tinggi. 

"Jika bekalan tak mencukupi atau kos import meningkat, maka harga akan naik. Jadi, untuk mengatasi isu kenaikan harga barang, kerajaan mesti melihat isu gangguan bekalan dan kos import dengan lebih serius, terutama sekali dalam keadaan nilai ringgit yang jatuh menjunam berbanding matawang utama dunia yang lain, terutamanya dollar Amerika Syarikat," katanya pada majlis pengumuman manifesto parti itu di ibu negara, pada Ahad.

Bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang, manifesto itu mengandungi 12 tunjang beserta 234 inisiatif dan membabitkan aspek ekonomi, alam sekitar, belia, sosial, pendidikan serta wanita untuk tempoh lima tahun akan datang.

Turut digariskan PN ialah membersihkan politik dan tadbir urus, mensejahterakan bumiputera, orang asli dan semua kaum, memacu pembangunan wilayah, melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan, memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda, mengoptimumkan potensi wanita, membina warga emas yang aktif dan sejahtera, memperkasakan orang kelainan upaya, memperkasakan peneroka Felda dan mentransformasikan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.

"Dengan pengalaman yang ada sebagai kerajaan, kami yakin bahawa kesemua tawaran ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensi-agensi kerajaan, GLC dan pihak swasta.

"Sebagai bukti komitmen Perikatan Nasional terhadap pelakanaaan tawaran-tawaran ini, sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai ahli pakar akan dibentuk bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung di dalam Tawaran PN BEST.

"Kami juga memberi jaminan bahawa semua inisiatif Bajet 2022, termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksanakan oleh Perikatan Nasional," ujarnya.