PERMATANG PAUH: "Kebimbangan jadi nyata."

Itu yang diluahkan calon Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar secara sponton ketika ditemui Astro AWANI tengah malam tadi.

Sebelum ini, beliau adalah antara figura politik utama yang menolak cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada musim tengkujuh.

Semalam, kira-kira 200 buah rumah di sekitar Seberang Perai, di sini terjejas selepas hujan lebat hampir dua jam.

BACA: Banjir kilat di Seberang Perai, beberapa calon PRU15 batal program kempen

Menurut Nurul Izzah hujan lebat sejak pukul 6 petang Jumaat itu menyebabkan paras air Sungai Junjung di stesen Seberang Perai Selatan (SPS) mencatatkan bacaan lapan meter.

SEGALA MAKLUMAT BERKAITAN BANJIR DI SINI

"Jadi kita ada beberapa penyelesaian di samping penyelenggaraan yang berterusan, kita juga harus mengkaji ruang-ruang untuk mengadaptasi permukaan bumi untuk menerap sebanyak mungkin air.

"Maka beberapa inovatif ini saya harap Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) ambil kira, kita tidak boleh lagi bergantung kepada 3M, iaitu melebar, mendalam dan melurus.

"Ini adalah kaedah konvension yang begiti tinggi kosnya namun tidak begitu efektif dalam jangka masa panjang," katanya kepada Astro AWANI selepas meninjau beberapa lokasi banjir di sekitar Seberang Perai di sini, Jumaat.

Selain Rancangan tebatan Banjir (RTB) Sungai Junjung Mati dan Kolam Takungan Alma, yang diluluskan kerajaan Persekutuan Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR itu memberitahu, beliau akan mendapatkan pandangan Think City Sdn Bhd (Think City) bagi mengatasi isu banjir di kawasan itu.

"Bagi saya, dua projek ini sahaja tidak cukup, maka saya akan dapatkan pandangan Think City yang bertanggungjawab mendapatkan dana antarabangsa sebanyak AS$10 juta (RM47 juta) untuk mengadaptasi perubahan iklim di Pulau Pinang," katanya.

Think City ialah sebuah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad yang tertumpu kepada solusi perbandaran, alam sekitar, komuniti sosial dan ekonomi budaya.