KUALA LUMPUR: Orang ramai digesa agar tidak memuat naik kemas kini yang boleh menimbulkan situasi yang mengancam keselamatan di media sosial.

Ketua Polis Negara,  Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan berkata, ini berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan beberapa kandungan sensitif dan menyentuh sentimen perkauman dimuat naik di beberapa platform media sosial, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), pada Ahad.

"PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh menyebabkan kegusaran awam.

"Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula

Sejak Ahad, beberapa kandungan di platform media sosial, khususnya TikTok, dikesan memaparkan video yang berunsur perkauman, dengan beberapa akaun mencatat ratusan ribu tontonan, menggunakan tragedi 13 Mei sebagai content.