Jelasnya, sejarah menunjukkan bahawa parti itu menjadi pentas kepelbagaian ideologi namun berkongsi aspirasi yang sama iaitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih makmur dan progresif.
Pada masa sama, perjuangannya tetap berpegang kepada asas-asas yang digariskan dalam Perlembagaan dan mereka tidak pernah melanggar mana-mana batas yang ditetapkan.
“PKR itu sendiri adalah gabungan antara pemimpin-pemimpin yang meninggalkan UMNO ketika Reformasi dengan pemimpin-pemimpin Parti Rakyat, parti berhaluan kiri yang lebih progresif.
“Dua pandangan berbeza, spektrum yang berbeza tapi bergabung menjadi Parti Keadilan Rakyat yang hari ini boleh dilihat idealismenya mencerminkan rakyat Malaysia,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Ujar beliau, ramai mengatakan PKR dan sayapnya terutama sekali Angkatan Muda itu bising, kecoh, berkecamuk dan sebagainya namun itulah warna-warni budaya yang terbentuk daripada idealisme yang diterapkan dalam PKR.
Kata Adam, ianya dinamik yang berbeza sekali dengan Barisan Nasional (BN) yang walaupun majmuk tetapi setiap perjuangn komponen di dalam gabungan itu terhad kepada kaum masing-masing.
“UMNO hanya akan cakap soal Melayu, MIC dan MCA masing-masing akan bercakap soal India dan Cina, dan pandangan umum selalunya akan melihat ia tidaklah begitu ‘multiracial’.
“Sedangkan gabungan PH itu lebih terkehadapan dalam soal-soal mengangkat suara-suara pelbagai.”