GUA MUSANG: Seiring dengan perkembangan teknologi, penyandang kerusi Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak ketinggalan menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium baharu untuk mendekati pengundi khususnya golongan muda dalam kempennya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bertanding buat kali ke-13 pada pilihan raya di peringkat Parlimen dan negeri, pengalaman berkempen meraih sokongan pengundi oleh Tengku Razaleigh, 85, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li tidak perlu disangkal lagi.

Bercakap kepada pemberita, calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau mula aktif di platform berkenaan semenjak sebulan lepas.

"Saya ikut trend semasa apabila mula aktif di TikTok ini. Kaedah ini juga satu pendekatan untuk merapatkan jurang dengan masyarakat yang terpisah dengan jarak dan kekangan yang lain.

"Saya juga cuba penuhi cita rasa orang muda sesuai dengan peredaran zaman," katanya ketika ditemui di Batu Papan 2, di sini, baru-baru ini.

Sehingga ke hari ini, akaun TikTok 'Tengku Razaleigh Hamzah' mempunyai 2,751 pengikut dan meningkat setiap hari.

Selain Tengku Razaleigh, calon lain bagi kerusi Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim (Pas) dan Asharun Uji (PH) turut menggunakan TikTok antara medium kempen mereka.

Mohd Azizi berkata, beliau berkongsi kempennya melalui akaun TikTok Pas Gua Musang.

"Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya akan ketengahkan akaun peribadi saya sendiri tetapi buat masa sekarang pergerakan dan perkembangan parti disalurkan melalui akaun @pasguamusang," katanya.

Menurut Asharun pula, beliau memuat naik video kempennya menerusi akaun Tiktok 'Abeyo Gua Muse'.

"Ada yang menyokong, tidak kurang juga yang meninggalkan komen berbaur provokasi, walau bagaimanapun semua pendapat saya raikan dan tidak cepat melatah apatah lagi untuk membalas semula komen-komen tersebut," katanya.

Selain Ku Li, Mohd Azizi dan Asharun, kerusi Parlimen Gua Musang turut menjadi rebutan Dr Samsu Adabi Mamat (GTA-Pejuang).

Sementara itu, Ketua Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Wan Hartini Wan Zainodin berkata, TikTok telah menjadi satu bentuk budaya baharu kepada golongan remaja.

"Pengguna TikTok dari golongan 18 tahun ke atas ada seramai 14.59 juta, walaupun TikTok ini medium yang bagus untuk iklan, ia juga adalah satu medium yang bagus untuk berkempen,

"Sebanyak mana peluang yang pengiklan produk dapat di TikTok, sebanyak itu jugalah parti-parti politik dapat peluang tersebut, cuma pendekatan penggunaan itulah yang akan menentukan penerimaan orang terhadap video di TikTok berkenaan sama ada menggunakan 'influencer' (pempengaruh) ataupun figura calon itu sendiri," katanya. - BERNAMA