KUALA LUMPUR: Penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini menyaksikan majoriti pemimpin utama parti politik tanah air bertanding mempertahankan kerusi tradisi masing-masing meskipun berdepan persaingan sengit dengan lebih tiga penjuru.

Ia termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk buat penggal keenam dalam persaingan empat penjuru, berdepan bekas Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; calon Perikatan Nasional (PN) Dr Muhammad Faiz Na'aman dan calon Bebas Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail.

Pada PRU14, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 5,073 undi selepas mendapat 18,909 undi menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PKR) yang memperoleh 13,836 undi dan calon Pas Ata Abdul Muneim Hasan Adli (4,061 undi).

Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, bertanding di kubu kuat beliau Parlimen Bera yang disandang sejak 2004, bakal berdepan dua pencabar iaitu Abas Awang dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Asmawi Harun (PN).

Turut mengambil langkah sama adalah Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertanding mempertahankan Parlimen Pagoh yang disandang selama enam penggal dalam pertembungan tiga penjuru.

[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dicabar Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Iskandar Shah Abd Rahman yang bertanding atas tiket PH.

Dalam pada itu, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) berdepan pertandingan lima penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang dimenanginya atas tiket PKR pada 2018. Bekas perdana menteri itu ditentang Datuk Armishah Siraj (BN); Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN); Zabidi Yahya (PH) dan calon Bebas, Datuk Abdul Kadir Sainudin.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pula berdepan tiga pencabar dalam usaha mempertahankan Parlimen Marang buat penggal keempat berturut-turut.

Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berdepan persaingan lapan penjuru bagi mengekalkan kerusi Parlimen Kota Raja yang dimenangi pada PRU14, dengan ditentang Mohamed Diah Baharun (PN), D. Kajendran (BN), Sarah Afiqah Zainol Arif (Parti Rakyat Malaysia), Fahmi Bazlan Muda (Pejuang), dan tiga calon Bebas P.Raveentharan, S.Surendhar serta K.Kumar.

Turut serta dalam barisan pemimpin parti yang mempertahankan kerusi tradisi pada PRU15 adalah Pengerusi DAP Lim Guan Eng (Parlimen Bagan); Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong (Parlimen Ayer Hitam) dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parlimen Muar).

Senario yang sama juga dapat dilihat di Sabah dan Sarawak apabila Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili dan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masing-masing bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu dan Semporna yang disandang oleh mereka sejak 1995.

Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Wilfred Madius Tangau pula berdepan persaingan enam penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran manakala Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof kekal bertanding di Parlimen Petra Jaya dalam persaingan tiga penjuru.

Ketika majoriti ketua parti mempertahankan kerusi masing-masing, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson, berdepan pertandingan empat penjuru di Parlimen Tambun pada PRU15.

Pengerusi PH itu ditentang calon BN iaitu Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah, calon Pejuang Abdul Rahim Tahir dan Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga penyandang kerusi itu.

Pentas PRU15 turut menyaksikan Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran buat julung kali mencuba nasib di Parlimen Sungai Siput yang merupakan kerusi tradisi parti itu sejak 1959 yang dimenangi Presiden kelima MIC, Tun V.T. Sambanthan sebelum terlepas ke tangan PKR pada 2008.

Vigneswaran berdepan enam pencabar bagi merampas kembali Parlimen Sungai Siput, iaitu penyandang kerusi itu S. Kesavan (PH), Datuk Seri G. Irudianathan (PN), Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang) dan tiga calon bebas iaitu Baharudin Kamarudin, R. Indrani serta N. Rajah.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang pertama kali menjadi calon bagi kerusi Parlimen memilih Rembau dan berdepan saingan lima penjuru apabila PH mengetengahkan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha selain pertembungan dengan Setiausaha Badan Perhubungan PN negeri Mohd Nazree Mohd Yunus, Ramly Awalludin (Pejuang) dan S. Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).

Penganalisis Politik dan Media Sosial dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Sara Chinnasamy menyifatkan gelanggang PRU15 sebagai cabaran besar buat pemimpin-pemimpin utama parti politik kerana terpaksa menghadapi persaingan sengit sekali gus bagi mewakili 'pro forma' parti masing-masing.

"Tiada isu berhubung ketua parti pertahankan kerusi tradisi mereka kerana sebelum ini pun mereka pernah berbuat demikian. Yang membezakannya ialah bilangan blok pada hari ini iaitu tiga blok utama yang bertanding dan pembukaan banyak penjuru," katanya ketika dihubungi.

Mengenai tindakan Anwar bertanding di Tambun, beliau berkata: "Ia boleh menjadi langkah strategik dan tahap kenyakinan yang tinggi sebagai ketua parti untuk PH menawan kembali Perak. Ia bukanlah langkah yang bijak tetapi lebih kepada langkah strategik PH untuk menerajui Perak,".

-- BERNAMA