Kehadiran Menteri Kesihatan itu di pusat mengundi di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim Ulu Gadong di sini menjadi perhatian sebahagian pengundi di situ yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar.
Warga Emas Abd Rahman Idris, 65, mengakui terasa kehilangan Khairy di Rembau yang disifatkan sebagai seorang pemimpin muda yang baik.
Katanya, meskipun Khairy sudah 'berhijrah' ke Sungai Buloh, namun dia mendoakan Menteri Kesihatan itu menang di sana.
"Sebagai orang yang pernah mendapat khidmat KJ, sayanglah dia kini sudah pergi ke tempat lain. Hilanglah orang kuat kita di Rembau.
"Tapi saya percaya macam mana dia bekerja di Rembau, macam itu juga dia akan buat di Sungai Buloh nanti dan harapnya KJ tidak lupakan orang Rembau," katanya.
Bekas tentera Zainal Tait, 76, berkata, percaya ramai orang Rembau yang rindukan Khairy.
Ujarnya, sepanjang tiga penggal berkhidmat di Rembau, Khairy telah memberikan khidmat yang terbaik dan berharap dia akan menang di Sungai Buloh.
Sementara itu Najwa Zamani, 32, berkata, nama Khairy sememangnya sudah sebati dengan Rembau dan perpindahannya ke Sungai Buloh sangat dirasai.
"Saya pergi ke mana-mana pun bila saya cakap asal dari Rembau, semuanya cakap 'orang KJ'. Jadi aura KJ itu memang kuat di Rembau.
"Bertuah orang Sungai Buloh jika dapat KJ sebagai Ahli Parlimen kerana beliau seorang pemimpin muda yang berkaliber dan saya harap dia menang di sana," katanya.
Penduduk Kampung Gadong, Mohd Zuly Mohd Zain, 42, turut meluahkan harapan agar Khairy menang di Sungai Buloh.
Tambahnya, sesuatu yang merugikan kepada negara jika pemimpin seperti Khairy tidak diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.