KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov 2022 mencatat sejarah kerana buat kali pertama, Malaysia mengalami Parlimen yang tergantung.

Ia selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan rasmi yang menyaksikan tiada satu pun daripada gabungan parti utama di negara ini dapat membentuk kerajaan secara sendiri.

Ini kerana, tiada satu pun yang mencapai jumlah majoriti yang diperlukan, iaitu 112 kerusi.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila SPR mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. 

PN menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu menggunakan logo Pas, selain membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua).

Sementara itu, tiga bahagian Parlimen tidak diumumkan iaitu Kota Marudu di Sabah dan Baram di Sarawak yang ditangguh berikutan masalah cuaca.

Tumpuan kini terarah ke Istana Negara kerana tanpa kepastian yang jelas, kini mungkin wujud 'hung Parliament' atau Parlimen tergantung.

Parlimen tergantung adalah situasi di mana tiada parti politik atau pakatan parti politik tertentu yang mempunyai jumlah ahli atau kerusi Parlimen yang terbanyak.

Difahamkan, SPR akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan keputusan rasmi PRU15 dan pemimpin parti politik juga dijangka menghadap baginda hari ini. 

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memilih Perdana Menteri walaupun tiada gabungan politik dominan atau mendapat majoriti mudah selepas keputusan PRU15.

Pemerhati politik berpendapat, rundingan bagi membentuk kerajaan campuran boleh berlaku sebelum atau selepas Seri Paduka Baginda melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat undi kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Kejayaan rundingan itu bergantung kepada kewibawaan pemimpin untuk membentuk kerajaan gabungan yang kukuh dan stabil.

Selepas pelantikan Perdana Menteri dibuat, rundingan bagi mewujudkan kerajaan campuran boleh diadakan melalui pembentukan kerajaan minoriti.

Mengikut Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara melantik Perdana Menteri mengikut proses yang ditetapkan Perkara 43(2)(a)  tanpa terikat dengan mana-mana konvensyen negara luar termasuklah Westminster.

Perdana Menteri yang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong jika tiada gabungan politik yang dominan boleh diuji sama ada mampu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat selepas dilantik.

Kepercayaan itu boleh dibuktikan sama ada melalui proses undi percaya di Parlimen, jumlah sokongan akuan bersumpah (SD) atau kaedah lain yang boleh memuaskan hati baginda.

Ia melainkan tiada usul tidak percaya dikemukakan oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri.

Apa yang pasti, apa yang rakyat harapkan, untuk tempoh lima tahun akan datang, Malaysia dipimpin Perdana Menteri dan sebuah pentadbiran oleh kerajaan yang berupaya mengharungi pelbagai cabaran mendatang.

Pembentukan kerajaan yang stabil bakal mentadbir negara, terutama menghadapi ribut ekonomi global dijangkakan melanda dunia tahun hadapan dan pemulihan negara pasca pandemik COVID-19 yang sebelum ini diburukkan lagi dengan ketegangan geopolitik, inflasi dan krisis makanan.