SIBU: Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menggunakan lambang partinya sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selepas Barisan Nasional (BN) tidak memberikan kata putus berkenaan permohonan parti itu untuk menyertai gabungan berkenaan.

"Kami akan melihat semula pemohonan untuk menyertai BN selepas pilihan raya," kata pengasas PBM Datuk Larry Sng Wei Shien dalam satu hantaran di laman Facebook beliau pada Rabu.



Katanya PBM mungkin tidak hanya bertanding di kerusi yang disandang ahlinya sahaja dan tidak semua penyandang akan diletakkan sebagai calon pada pilihan raya itu.

Dalam satu lagi hantaran, Sng berkata beliau akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Julau atas tiket PBM dan menegaskan beliau sehingga kini masih presiden parti tersebut.

"Sebagai presiden parti, saya tidak pernah letak jawatan daripada jawatan saya mahupun membatalkan keahlian parti saya. Parti ini mempunyai asas berasal dari Sabah dan Sarawak. Ia penting untuk suara dan perwakilan kami tidak diabaikan atau dipinggirkan," katanya.

Sng juga akan mengumumkan perkara berkaitan dengan status PBM dan calon-calon lain parti itu dalam masa beberapa hari lagi.

Beliau berkata segala pengumuman yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin parti tersebut sebelum ini hanyalah spekulasi semata-mata.

"Pengumuman rasmi akan dibuat saya sendiri dan hanya saya akan tandatangan watikah untuk PBM pada PRU15," katanya.

Pada PRU14 pada 2018, Sng memenangi kerusi Parlimen Julau sebagai calon Bebas, dan kemudian menyertai PKR selepas pilihan raya itu. Februari tahun lepas, beliau telah keluar daripada PKR dan pada 8 Jan lalu dipilih sebagai Presiden PBM.

Menjawab soalan pemberita dalam ruangan komen berkaitan sama ada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin adalah Presiden PBM dalam senarai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), beliau menjawab: "tidak".

Pada 8 Okt, Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, Zuraida kini menerajui PBM setelah dilantik sebagai presiden baharu parti itu, menggantikan Sng.

Katanya pelantikan Zuraida dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang berlangsung sehari sebelum itu, setelah mesyuarat berkenaan mengesahkan tujuh usul yang diluluskan semasa Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022 di Shah Alam pada 1 Okt lepas, termasuk meletakkan Zuraida sebagai Presiden PBM.

-- BERNAMA