KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai dua pemenang terbesar dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) harus diberi ruang dan tanggungjawab untuk membincangkan pembentukan kerajaan yang stabil.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, berkata Barisan Nasional (BN) tidak sewajarnya masuk campur dan perlu fokus terhadap usaha membaik pulih dan reformasi parti, selain menjalankan fungsi sebagai pembangkang yang berkualiti.

Kata Sharil, menjadi pembangkang bukan bererti duduk diam dan meratapi kekalahan, sebaliknya ia menjadi parti alternatif dengan kritikan membina, perwatakan baharu dan hujah bermutu untuk dipertimbangkan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

"Jika PH-PN masih gagal sepakat siapa perdana menteri, barulah kita terpaksa masuk campur dan itu pun sekadar persefahaman terhad seperti perkongsian saya sebelum ini. Untuk menghalalkan wujudnya sebuah kerajaan mengikut Perlembagaan dan seorang PM dengan persetujuan 112 Ahli Parlimen, itu sahaja.

"Pada ketika itu, rakyat akan jelas, tindakan tersebut sebagai last resort kerana PH-PN tak dapat capai kesepakatan. Waktu itu, PH atau PN terpaksa akur dan tidak boleh salahkan kita kerana mereka yang tak mampu deal sesama mereka," katanya dalam satu kemas kini di Facebook.

BACA: PRU15: Tok Mat bersuara, cadang PN, PH bergabung tubuh kerajaan

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula

Tambahnya lagi, jika BN terbabit dengan proses pembentukan kerajaan dari awal, ia memberi isyarat yang salah kepada rakyat tentang niat dan prinsip BN.

"Kalau sudah tahu ditelan mati emak, diluah mati bapak, lebih baik jangan masuk mulut langsung.

"Biarkan pemenang hari ini menentukan nasib mereka sendiri. Kita fokus untuk cuba menjadi pemenang esok," ujarnya.