PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding lebih daripada 51 kerusi Parlimen di Semenanjung bagi pilihan raya umum kali ini, kata Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, lebih kerusi itu merupakan kuota yang diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU sebelum ini, ketika parti itu masih bersama Pakatan Harapan (PH).

Katanya lagi, Majlis Pakatan Harapan akan menentukan agihan 52 kerusi Bersatu antara komponen parti, iaitu PKR, DAP, dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Sewaktu PRU14, Keadilan telah bertanding 51 kerusi di Semenanjung. Jangkaan kami lebih dari itu untuk PRU kali ini. 52 kerusi Bersatu akan diagihkan antara Keadilan, DAP dan Amanah di Semenanjung.

“Bagaimanapun (untuk) angka sebenar, kita perlu tunggu keputusan kerana masih ada beberapa kerusi yang masih dalam perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas selesai Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di Petaling Jaya malam ini.

Sewaktu PRU pada 2018, Bersatu yang ketika itu diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat jumlah kerusi terbesar antara komponen PH, iaitu 52 kerusi, diikuti PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27).

Dalam pada itu Fahmi berkata, mesyuarat khas MPP yang berlangsung malam ini telah membincangkan beberapa perkara termasuk kesiapsiagaan parti di setiap negeri, dan isu tentang strategi dan langkah yang akan diambil dalam tempoh beberapa hari akan datang.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat dan beberapa perkara akan diputuskan.

“Juga ada beberapa perkara dalam jadual akan diawalkan seperti Konvensyen PH yang sebelum ini diputuskan pada 29 Oktober, berkemungkinan perlu dianjakkan, atau diawalkan, atau tangguh untuk kita buat dengan cara sedikit berbeza,” katanya lagi.