PAGOH: Perikatan Nasional (PN) akan mendapatkan pandangan pimpinan parti komponen sebelum memuktamadkan sebarang kerjasama politik baharu.
 
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk soal gabungan bersama parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
 
Menurut beliau, perkara berkenaan mesti diperhalusi dengan terperinci dan mengambil kira suara kesemua parti komponen.
 

"Masing-masing punya pengalaman masing-masing kerana di dalam kita ada Pas, mereka ada pengalaman bersama mana yang kena menambah nilai atau pun tidak menguntungkan, atau tak.

"Tetapi jangan menguntungkan satu pihak atau merugikan satu pihak atau bagi pandangan pengundi, jika hal ini berlaku itu kita kena ambil kira.

"Saya tidak tahu orang Panchor sini suka ke tidak. Jadi jika kita buat sesuatu yang tidak disukai, baik-baik kita dapat sokongan tinggi lepas itu merosot. Maka ini perlu diteliti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kenduri Rakyat di Masjid Jamek Panchor, di sini hari ini.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!
 
Sebelum ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan bakal menjalinkan kerjasama dengan pejuang untuk menentang UMNO.
 
Sementara itu, ditanya soal pembahagian kerusi PN bagi menghadapi PRU15 nanti ujarnya, perkara berkenaan sudah berada di peringkat akhir.
 
Katanya, beliau bagaimanapun berharap semua pimpinan akan menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan yang diputuskan oleh parti.